HUTAN di Kampung Kundur Hulu terbakar semalam. FOTO Ihsan Bomba
HUTAN di Kampung Kundur Hulu terbakar semalam. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


CUACA sangat panas menyebabkan kawasan hutan seluas 4.9 hektar di Batu 5 1/2, Kampung Kundur Hulu, Rembau, musnah terbakar, semalam.

Komander Operasi bagi Zon Port Dickson, Mohd Siraj Abdullah berkata, 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Rembau, Tampin dan Seremban dikerahkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kejadian 7.03 petang.

Katanya, sebaik tiba 7.28 malam bersama tiga jentera, pihaknya mendapati api marak membakar hutan dan kerja pemadaman dilakukan segera.

“Langkah awal adalah mengawal api daripada merebak ke kawasan penempatan penduduk.

“Dengan kekuatan 17 anggota, kami perlu berkawal di kawasan seluas 12 ekar atau 4.9 hektar,” katanya.

Mohd Siraj berkata, anggotanya berdepan bahang yang sangat panas tambahan pula api merebak sangat cepat.

“Alhamdulillah, berkat kesungguhan semua anggota kebakaran dapat dipadam sepenuhnya jam 11.30 malam tadi.

“Siasatan awal bomba mendapati kebakaran disebabkan oleh cuaca yang panas ketika ini,” katanya.

Mohd Siraj berkata, ketika pemadaman berlaku beberapa letupan menyebabkan anggotanya terpaksa berwaspada.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 11:35 AM