KEADAAN kereta yang merempuh treler panjang muatan pasir. FOTO ihsan bomba
KEADAAN kereta yang merempuh treler panjang muatan pasir. FOTO ihsan bomba

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

 

Seremban: Seorang lelaki berusia 40 an maut manakala anak perempuannya berusia tiga tahun parah apabila kereta dinaiki merempuh bahagian belakang treler panjang sebelum terperosok di bawah kenderaan itu di Kilometer 263 Lebuhraya PLUS arah utara berhampiran Plaza Tol Seremban, di sini, pagi tadi.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Seremban 2 berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.51 pagi sebelum bergegas ke lokasi dan mendapati dua beranak itu tersepit dalam kereta dinaiki.

Katanya, pihaknya memerlukan 30 minit bagi mengeluarkan dua mangsa sebelum mendapati lelaki berkenaan meninggal dunia di lokasi manakala anak perempuannya parah.

"Dalam kejadian itu, dua beranak terbabit memandu dari arah selatan ke Kuala Lumpur sebelum terbabit kemalangan dengan merempuh treler muatan pasir.

"Mayat dan mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini untuk tindakan susulan manakala pemandu treler berusia 40an tidak mengalami kecederaan," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 11:27 AM