Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PEKERJA pendawaian berusia 50-an melecur 80 peratus dalam kebakaran di Wisma Punca Emas, di Seremban, hari ini.

Pengarah bomba Negeri Sembilan, Norazam Khamis, berkata, lelaki itu diselamatkan pasukannya yang melakukan operasi mencari dan menyelamat di dalam bangunan yang dipenuhi asap tebal itu.

Katanya, terdahulu pihaknya menerima panggilan kecemasan 1.15 tengah hari daripada orang awam yang mendakwa 20 orang terperangkap di tingkat dua pasar raya lama terbabit.

Beliau berkata, 17 anggota dengan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Seremban dan Seremban 2 dihantar ke lokasi.

“Sebaik tiba, kita mendapati terdapat kepulan asap tebal dan percikan api di tingkat dua bangunan. Pasukan segera melakukan kerja pemadaman dan mencari semua mangsa yang didakwa terperangkap.

“Bagaimanapun, selepas pemeriksaan dan siasatan, kita mendapati hanya dua lelaki iaitu pekerja pendawaian berada di situ dengan seorang daripada mereka sempat keluar menyelamatkan diri.

“Mangsa yang melecur berada dalam keadaan kritikal dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk rawatan,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 2 petang dan berdasarkan siasatan awal, pihaknya percaya kebakaran berpunca daripada litar pintas pada kotak fius elektrik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 November 2018 @ 4:12 PM
KEADAAN kebakaran yang berlaku di tingkat dua Wisma Punca Emas di bandar Seremban. FOTO Hazreen Mohamad
KEADAAN kebakaran yang berlaku di tingkat dua Wisma Punca Emas di bandar Seremban. FOTO Hazreen Mohamad