Dua beradik perempuan yang ditahan bersama abang mereka oleh anggota penguat kuasa AADK Padang Terap. FOTO ihsan AADK Padang Terap
Dua beradik perempuan yang ditahan bersama abang mereka oleh anggota penguat kuasa AADK Padang Terap. FOTO ihsan AADK Padang Terap
Muhaamad Hafis Nawawi


SEORANG lelaki tergamak mengajar dua adik perempuannya menghisap dadah sejak tiga tahun lalu di rumah keluarga mereka di Kampung Rambutan, Padang Terap.

Bagaimanapun, perbuatan lelaki berusia 23 tahun itu bersama dua adiknya berusia 15 dan 19 tahun terbongkar selepas ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Padang Terap, kira-kira jam 4 pagi tadi.

Ketua Pegawai AADK Padang Terap Zainal Abidin Ismail berkata, operasi diadakan selepas pihaknya menerima aduan orang awam yang dilakukan 10 anggota diketuai Mazhar Murad.

Menurutnya, operasi yang bermula dari 11 pagi semalam hingga jam 4.30 pagi tadi diadakan di Kampung Barokhas, Tualak, Rambutan, Bukit Indin serta berek polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap.

“Dalam serbuan dijalankan di lima rumah, kita menahan 10 penagih berusia 15 hingga 30 tahun.

“Serbuan dijalankan di Kampung Rambutan begitu mengejutkan apabila kita menahan seorang lelaki yang tergamak mengajar dua adik perempuannya menghisap syabu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, teman lelaki adik perempuan lelaki berkenaan serta seorang rakan lelakinya turut ditahan.

Malah, katanya, siasatan dijalankan juga mendapati adik perempuan lelaki berkenaan sudah tidak lagi bersekolah dan tinggal bersama ibu bapa yang bekerja sebagai penoreh.

“Hasil ujian air kencing terhadap semua yang ditahan mendapati mereka positif dadah jenis opiat dan methamphetamine. Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1), Akta Penagih Dadah ( Rawatan & Pemulihan ) 1983,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 11:26 AM