Suami isteri ditahan penguat kuasa AADK di rumah mereka ketika menghisap dadah. FOTO Ihsan AADK
Suami isteri ditahan penguat kuasa AADK di rumah mereka ketika menghisap dadah. FOTO Ihsan AADK
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

SUDAHLAH menagih malah suami isteri bersama adik lelaki tergamak menghisap bahan terlarang itu di hadapan lima anak di rumah mereka di Kampung Felda Mata Ayer, Padang Besar semalam.

Bagaimanapun perbuatan mereka itu mengundang padah apabila ditahan penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam Op Khas AADK Negeri menyebabkan anaknya yang berusia tiga hingga 11 tahun tidak dapat menahan sebak dan mengalir air mata melihat ibu bapa dan bapa saudara ditahan.

Pengarah AADK Perlis, Azizah Ahmad berkata, suami isteri berusia awal 30-an dan 28 tahun itu ditahan pihaknya bersama adik lelaki suami berusia awal 20-an ketika leka menghisap syabu di depan kanak-kanak berkenaan jam 10 malam.

Katanya, mereka antara 20 penagih yang ditahan dalam Op Khas AADK yang bermula pada 8 malam di beberapa kawasan panas di daerah Padang Besar seperti Abi, Santan dan Kampung Felda Mata Ayer.

“Difahamkan pasangan itu berada dalam pemantauan pihak kami dan menjadikan bilik tidur di rumah mereka sebagai tempat menghisap dadah selain membiarkan anak-anak melihat perbuatan tidak bermoral itu.

“Ketika pihak kami menahan mereka, kelima-lima anak mereka tidak dapat menahan kesedihan selepas melihat ayah, ibu dan bapa saudara digari.

“Kelima kanak-kanak itu diserahkan kepada waris terdekat manakala penjaga mereka yang tidak bekerja dibawa ke ibu pejabat AADK negeri untuk direman,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam operasi sama, Azizah berkata, pihaknya turut menahan bapa dan anak berusia 40 tahun dan 22 tahun di Utan Aji.

“Dua beranak yang bekerja kampung itu menjadikan alasan perlukan tenaga tambahan untuk bekerja bagi menghisap dadah.

“Bagaimanapun perbuatan itu tetap menjadi satu kesalahan kerana ia membawa kepada ketagihan dan umum sedia maklum najis dadah ini boleh membinasakan,” katanya.

Beliau berkata, operasi itu berakhir jam 4 pagi hari ini dengan 20 daripada 25 orang positif dadah selepas menjalani ujian air kencing.

“17 positif dadah jenis syabu manakala selebihnya positif opiat dan mereka direman dua minggu mengikut Akta Penyalahgunaan Dadah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 5:58 PM