ANTARA lelaki yang disyaki penagih dadah ditahan dalam serbuan Ops Khas Perdana AADK di Pendang, semalam. FOTO Ihsan AADK
ANTARA lelaki yang disyaki penagih dadah ditahan dalam serbuan Ops Khas Perdana AADK di Pendang, semalam. FOTO Ihsan AADK
Zuliaty Zulkiffli


BAKAL pengantin yang akan melangsungkan perkahwinan pada Oktober depan ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi Ops Perdana Khas AADK di Pendang, semalam.

Lelaki, 28, turut merayu dilepaskan dengan mendakwa mahu melakukan persiapan perkahwinan, tidak lama lagi.

Bagaimanapun, rayuannya tidak diendahkan malah saringan ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis morfin.

Operasi yang dibantu AADK Yan, Sik dan Padang Terap serta anggota dari Balai Polis Pendang bermula 10 pagi hingga 7 malam.

Ketua Pegawai AADK Pendang Ahmad Zaheer Hamid berkata, dalam serbuan di lokasi pertama, pihaknya menahan 11 lelaki sedang leka menghisap dadah di tepi jalan berhadapan Klinik Kesihatan Pendang.

“Operasi kedua di kebun kelapa sawit Kampung Padang Pusing, membawa kepada penahanan sembilan lagi suspek yang disyaki penagih dadah.

“Seramai 20 orang berusia 19 hingga 50 tahun ditahan untuk pemeriksaan di mana 18 daripadanya positif dadah jenis morfin, seorang (syabu) dan seorang lagi negatif dadah,” katanya.

Katanya, pihaknya percaya dua kawasan yang diserbu semalam kerap dikunjungi golongan penagih di kawasan itu.

“Daripada jumlah yang ditahan, 17 daripadanya disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Dua lagi suspek diserahkan kepada polis untuk siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki syabu dan Seksyen 15 (a) akta sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Jun 2018 @ 9:37 AM