PEGAWAI AADK menahan suspek penyalahgunaan dadah di Kampung Sungai Mata. FOTO ihsan AADK
PEGAWAI AADK menahan suspek penyalahgunaan dadah di Kampung Sungai Mata. FOTO ihsan AADK
Ekhwan Haque Fazlul Haque


SUAMI isteri lalok. Itu gelaran yang layak diberikan kepada pasangan yang ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam serbuan di rumah di Kampung Sungai Mata, Samarahan, Sabtu lalu.

Serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota AADK Sarawak dan Bahagian Samarahan pada 7.30 malam hasil daripada risikan dan maklumat awam mengenai kegiatan penyalahgunaan dadah di kawasan berkenaan.

Pengarah AADK Sarawak, Wan Madihi Wan Salleh berkata, serbuan di rumah berkenaan dijalankan selepas hasil risikan mendapati ia dijadikan port penagih di kampung berkenaan melepaskan gian.

Katanya, hasil serbuan itu, empat individu masing-masing tiga lelaki dan seorang wanita berusia 30 hingga 40 tahun ditahan dalam keadaan khayal kerana masih di bawah pengaruh dadah.

“Rumah berkenaan dipercayai dihuni tokan yang membekalkan dadah kepada penagih di sekitar kampung berkenaan dan kawasan berhampiran namun pemeriksaan lanjut tidak menemui sebarang dadah atau pil khayal.

“Empat individu yang berada di dalam rumah berkenaan bagaimanapun tidak sempat meloloskan diri kerana kawasan itu sudah dikepung penguatkuasa AADK. Ujian air kencing juga mendapati mereka positif syabu,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Wan Madihi berkata, dalam serbuan berasingan di padang ragbi di Jalan Padungan, di Kuching, pihaknya menahan lima lelaki selepas didapati positif syabu ketika pemeriksaan rambang dijalankan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, semua lelaki yang ditahan berusia 20 hingga 35 tahun itu ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum ujian air kencing dijalankan ke atas mereka.

“Padang ragbi berkenaan sering menjadi lokasi penagih untuk melepaskan gian kerana keadaannya yang sunyi dan jauh dari jalan utama.

“AADK juga sudah beberapa kali melakukan serbuan dan pemeriksaan rambang di kawasan berkenaan namun masih ada penagih yang dikesan terus berdegil dengan menghisap dadah di padang ragbi itu,” katanya.

Semua yang ditahan dalam dua operasi itu dibawa ke pejabat AADK Sarawak dan Bahagian Samarahan untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke pusat pemulihan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Mac 2018 @ 3:50 PM