Badak sumbu Sumatera betina terakhir di negara ini yang diberi nama Imana. Foto Roy Goh
Badak sumbu Sumatera betina terakhir di negara ini yang diberi nama Imana. Foto Roy Goh
Mohd Izham Unnip Abdullah


PELUANG badak sumbu betina Sumatera terakhir Malaysia sembuh bagi membolehkannya menjalani proses pengambilan telur untuk pembiakan secara in-vitro (IVF) dilihat sukar berikutan keadaannya yang semakin tenat.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) Augustine Tuuga berkata, menyatakan walaupun mamalia betina dikenali sebagai Iman itu masih mengeluarkan telur tetapi kesihatannya boleh menjadi semakin buruk jika proses pengambilan telur dilakukan.

“Melihat keadaannya yang semakin tenat, kita tidak sampai hati untuk melakukan proses pengambilan telur kerana kita bimbang ia menyebabkan kesakitan dialaminya bertambah teruk dan mungkin tidak dapat bertahan.

“Setakat ini, peluang untuk Iman menjalani proses itu adalah tipis tetapi kita berdoa agar keadaan kesihatannya dapat dipulihkan menerusi proses rawatan yang dilakukan,” katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu hari ini.

Iman yang dianggarkan berusia 25 tahun kini berada dalam penjagaan rapi veterinar hidupan liar di Santuari Badak Borneo, Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin di Lahad Datu.

Mengulas lanjut, Augustine berkata, pakar dari Jerman yang melakukan proses pengambilan telur Iman sebelum ini bersedia dipanggil semula bagi mengulangi proses itu jika keadaan kesihatan Iman mengizinkan.

Menurutnya, telur atau ovum mamalia itu berjaya dikeluarkan pakar terbabit pada akhir September lalu, namun ia gagal disenyawakan melalui teknik IVF disebabkan sperma atau benih daripada badak jantan yang digunakan dalam proses itu kurang berkualiti.

“Ia menggunakan sperma daripada badak jantan dikenali sebagai Tam yang diambil dan disimpan sebelum badak berkenaan mati akibat usia tua dan kegagalan organ dalaman pada Mei lalu,” katanya.

Pada masa yang sama, Augustine menyatakan harapannya agar pihak Indonesia dapat memberikan maklum balas segera berhubung rancangan untuk menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) pembiakan badak.

Menurutnya, MoU itu antara lain berkaitan persetujuan bagi membolehkan benih badak Sumatera jantan dari Indonesia digunakan untuk disenyawakan dengan telur Iman menerusi teknik IVF.

Katanya, ia turut merangkumi MoU berkaitan penggunaan ibu tumpang badak betina Indonesia bagi menempatkan embrio yang berjaya dihasilkan memandangkan keadaan kesihatan Iman tidak membolehkan ia bunting.

“Kalau Indonesia tidak memberikan maklum balas, kita tidak dapat berbuat apa-apa tetapi kita tetap berusaha dan berharap MoU yang dirancang itu dapat dilaksanakan secepat mungkin.

“Sebenarnya MoU itu bukan saja berkaitan Iman, malah adalah lagi aspek lain yang berhubung kait dengan pemeliharaan badak,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri yang diketuai Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew mengadakan pertemuan dengan pihak Indonesia berkaitan perkara itu tetapi belum ada perkembangan lanjut setakat ini.

Semalam, Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri menjelaskan keadaan Iman semakin tenat disebabkan ketumbuhan atau tumor dalam uterusnya yang dikesan sebelum ini semakin membesar hingga menyebabkan nafsu makannya menurun dan mengakibatkan berat badan menyusut.

Pada awal tahun lalu, Iman dilapor mengalami pendarahan dalam rahim akibat tumor, namun berjaya dikawal sebelum ia dilaporkan membesar semula berikutan keadaan kesihatannya yang merosot sejak kebelakangan ini.

Iman yang ditangkap di hutan Lembah Danum sebelum dipindahkan ke Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin di Lahad Datu pada Mac 2014 adalah badak sumbu Sumatera terakhir yang dikesan di hutan negeri itu.

Pada Jun 2017, seekor badak betina dikenali sebagai Puntung terpaksa dimatikan selepas beberapa lama menderita akibat barah sel skuamus atau kanser kulit selain sukar bernafas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 10:46 AM