Mohd Izham Unnip Abdullah


BADAK sumbu Sumatera terakhir di Malaysia yang ditempatkan di Santuari Badak Borneo (BRS) di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin di Lahad Datu kini, dalam keadaan sihat selepas menjalani rawatan akibat ketumbuhan dalam rahim, tahun lalu.

Badak betina dikenali sebagai Iman itu adalah satu-satunya spesies badak Sumatera yang masih hidup di negara ini selepas pasangannya yang dikenali sebagai Kertam atau Tam mati akibat usia tua dan kegagalan organ dalaman pada 27 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga berkata, walaupun masih menjalani rawatan susulan bagi mengelak ketumbuhan dialaminya melarat semula, keadaan Iman sudah kembali normal dan nafsu makannya juga pulih sepenuhnya.

Beliau berkata, badak berkenaan juga sudah bersedia menjalani proses pengambilan ovum atau telur untuk disenyawakan dengan sperma atau benih badak Sumatera jantan menerusi kerjasama yang dirancang dengan Indonesia, dan kini menunggu bantuan pakar dari Jerman.

Bagaimanapun, katanya akibat ketumbuhan yang dialaminya, badak berkenaan tidak lagi boleh bunting walaupun masih aktif mengeluarkan telur.

“Sehubungan itu, bagi menyelamatkan badak Sumatera di negara ini, telurnya perlu disenyawakan dengan sperma badak jantan di Indonesia sebelum dimasukkan dalam rahim badak Sumatera betina lain di negara itu sebagai ibu tumpang.

“Proses ini dikenali sebagai in vitro fertilisation (IVF), namun sebelum ia dilaksanakan satu perjanjian persefahaman (MoU) perlu dimeterai dengan Indonesia supaya tidak timbul masalah berhubung siapa pemilik anak badak yang dilahirkan melalui proses itu,” katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, hari ini.

Iman yang berumur 23 tahun ditangkap di Lembah Danum, Lahad Datu pada 2014 sebelum dipindahkan ke Hutan Simpan Hidupan Liar Lahad Datu dan seterusnya ditempatkan di BRS selepas santuari berkenaan siap tahun lalu.

Santuari berkenaan dikendalikan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Borneo Rhino Alliance (BORA) bagi pihak Jabatan Hidupan Liar Sabah, termasuk memantau badak yang ditempatkan di sana.

Badak seberat 530 kilogram itu dikesan mengalami ketumbuhan leiomyoma dalam rahim yang pecah hingga mengakibatkan pendarahan teruk pada Disember tahun lalu, namun dapat dipulihkan menerusi rawatan berterusan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 12:13 PM
TANGKAP layar dari video menunjukkan keadaan terkini Iman. VIDEO ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah
TANGKAP layar dari video menunjukkan keadaan terkini Iman. VIDEO ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah