SEBAHAGIAN GRO yang ditahan di sebuah premis hiburan di Kota Bharu dalam operasi JIM. FOTO Ihsan JIM
SEBAHAGIAN GRO yang ditahan di sebuah premis hiburan di Kota Bharu dalam operasi JIM. FOTO Ihsan JIM
Muhamaad Razis Ismail


TIGA BELAS pelayan pelanggan (GRO) yang sedang leka melayan pelanggan, antara 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam Ops Kutip dan Gegar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan di sekitar Kota Bharu sejak semalam.

Semua wanita itu ditahan JIM 1 pagi ini selepas melakukan kesalahan tiada permit tinggal Malaysia dan langgar syarat permit.

Pengarah JIM Kelantan Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi bermula 9 malam semalam hingga 4 pagi hari ini digerakkan selepas pihaknya memperoleh maklumat awam dan risikan.

Katanya, pihaknya menyerbu empat lokasi dan menahan PATI warga Indonesia, Thailand, Laos, Kemboja dan Pakistan berusia antara 20 hingga 50 tahun selepas melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

"Di lokasi pertama di Melor, kita menahan tujuh warga Indonesia terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita yang melakukan pelbagai kesalahan termasuk tinggal lebih masa, tiada permit dan langgar syarat permit.

"Selepas itu, kita menyerbu sebuah premis hiburan di Jalan Dusun Raja Sri Cemerlang dan menahan 13 wanita warga Thailand dan Laos yang melakukan kesalahan tiada permit tinggal Malaysia dan langgar syarat permit dengan menjadi GRO.

"Dua rumah masing-masing di Kampung Penambang dan Kampung Chicha, Kubang Kerian yang diduduki enam warga Kemboja dan Pakistan turut diserbu selepas tidak memiliki dokumen perjalanan sah selain permit tamat tempoh," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) akta sama dan Peraturan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Semua PATI kini ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 8:34 PM