ANGGOTA KPDNKK melakukan pemeriksaan di kilang proses mi dan kuetiau di Mak Mandin, hari ini. Foto Ihsan KPDNKK
ANGGOTA KPDNKK melakukan pemeriksaan di kilang proses mi dan kuetiau di Mak Mandin, hari ini. Foto Ihsan KPDNKK
Zulfa Mohamad


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Seberang Prai Utara (KPDNKKSPU) serbu premis memproses mi dan kuetiau di Mak Mandin, Butterworth, hari ini, kerana salah guna logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Serbuan 12 tengah hari itu membabitkan enam anggota penguat kuasa KPDNKKSPU serta tiga pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) selepas menerima aduan awam yang curiga dengan status halal produk di premis itu.

Ketika serbuan, terdapat beberapa pekerja sedang membungkus mi dan kuetiau menggunakan plastik tertera logo halal.

Ketua Cawangan KPDNKKSPU Zalina Aziz berkata, siasatan awal mendapati produk mi dan kuetiau yang dikeluarkan premis terbabit dipasarkan sekitar Pulau Pinang.

"Produk berkenaan dibungkus menggunakan plastik tertera logo halal JAKIM tetapi premis berkenaan tidak mempunyai sijil halal sah.

"Berikutan itu, kita menyita 175.1 kilogram plastik bercetak logo halal dan 15,600 keping pelekat logo halal dari premis berkenaan," katanya.

Zalina berkata, pihaknya turut mengambil keterangan pemilik premis berkenaan berusia 50-an untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, tindakan diambil mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2017 @ 8:24 PM