ANTARA barangan yang dirampas daripada suspek (kanan) dalam serbuan di Kampung Titi Kera, Mukim Tobiar, Pendang.Gambar ihsan Polis
ANTARA barangan yang dirampas daripada suspek (kanan) dalam serbuan di Kampung Titi Kera, Mukim Tobiar, Pendang.Gambar ihsan Polis
Zuliaty Zulkiffli


LELAKI disyaki tokan dadah diberkas polis dalam serbuan di hadapan rumah di Kampung Titi Kera, Mukim Tobiar, Pendang, semalam.

Suspek berusia 26 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pendang pada 6.30 petang dalam kereta di hadapan rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Fadzil Hashim berkata, ketika serbuan dilakukan, suspek dalam keadaan khayal dan tidak sempat melarikan diri malah turut merayu supaya dilepaskan, namun anggota polis menahannya untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut keretanya menemui satu beg hitam berzip biru di atas alas pemijak kaki bahagian tempat duduk pemandu.

"Pemeriksaan lanjut beg hitam itu menemui satu paket plastik lutsinar berisi serbuk hablur jernih disyaki dadah syabu anggaran berat 103 gram dan lapan papan kertas timah warna merah setiap satunya mengandungi 10 biji pil disyaki erimin 5 (anggaran berat 22.80 gram).

"Selain itu, kita juga merampas alat penimbang digital, gunting, satu peket plastik lutsinar berisi paket kosong plastik lutsinar dan MyKad milik suspek serta kad minyak miliknya untuk membantu siasatan," katanya.

Fadzil berkata, dalam pemeriksaan itu pihaknya turut merampas wang tunai RM1,121 untuk siasatan lanjut.

"Semakan rekod mendapati suspek yang sudah berkahwin sebelum ini pernah terbabit dengan kesalahan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Suspek tidak bekerja dan ujian saringan air kencing terhadapnya mendapati dia positif dadah methamphetamine.

"Dia ditahan untuk membantu siasatan mengikut mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 39 A (1) ADB 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 6:27 PM