Dua anggota polis direman bantu siasatan kes minta sogokan RM5,000. FOTO Mohd Adam Arinin.
Dua anggota polis direman bantu siasatan kes minta sogokan RM5,000. FOTO Mohd Adam Arinin.
Norasikin Daineh


DUA anggota polis direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes meminta sogokan berjumlah RM5,000 daripada seorang wanita pada 3 Disember lalu.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Cindy Mc Juce Balitus di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.

Kedua-duanya yang masing-masing berusia 39 tahun bertugas di Balai Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan ditahan SPRM 3.25 petang semalam.

Difahamkan, mereka ditahan selepas SPRM menerima aduan daripada seorang wanita bahawa dua anggota polis meminta suapan RM5,000 dipercayai bagi mengelak dikenakan tindakan kerana berkhalwat di satu lokasi di Kota Kinabalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd Faliq Basiruddin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 12:31 PM