Norasikin Daineh


NAIB Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Peter Anthony, 46, hari ini dibebaskan daripada tahanan reman berhubung kes penyelewengan RM1.5 bilion dana peruntukan sebuah kementerian di Sabah.

Peter dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada prosiding di hadapan Majistret Cindy Mc Juce Balitus yang dijalankan di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, hari ini.

Prosiding itu dijalankan di hospital berkenaan kerana Peter masih menerima rawatan akibat masalah kekurangan air dalam badan.

Cindy turut memerintahkan Peter membayar jaminan tanpa deposit bernilai RM50,000 oleh dua penjamin.

Pada prosiding itu, SPRM diwakili Pegawai Pendakwa Mohd Faliq Basiruddin.

Terdahulu, Peter direman selama lima hari pada Jumaat lalu sebelum disambung semula tiga hari iaitu Selasa lalu dan tamat hari ini.

Ia bagi membantu siasatan kes mengikut 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Setakat ini, seramai tujuh individu termasuk empat ahli politik sudah ditahan reman di Sabah dan Putrajaya bagi membantu siasatan SPRM berhubung kes berkenaan.

Di Sabah, individu yang ditahan reman termasuk Ketua Wira parti itu, Datuk Mohd Azis Jamman, 43.

Tiga lagi, Ketua Penerangan Pemuda UMNO merangkap Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar, 43, Ketua Pemuda UMNO Tawau Ariffin Kassim, 44, dan seorang lagi ahli perniagaan berusia 52 tahun.

Di Putrajaya, seorang wanita berusia 40 tahun yang juga bekas Timbalan Setiausaha di sebuah kementerian persekutuan turut ditahan reman bagi membantu kes sama.

SPRM sebelum ini mendedahkan siasatan kes penyelewengan dana sebuah kementerian persekutuan di Sabah membabitkan nilai RM1.5 bilion.

Ia berdasarkan peruntukan RM7.5 bilion untuk pelbagai projek pembinaan infrastruktur di negeri itu antara 2010 dan 2015.

Berita berkaitan:

Adik Shafie Apdal ditahan

Adik Shafie Apdal pula dipanggil SPRM

Penyokong penuhi perkarangan mahkamah [METROTV]

Mohd Azis disiasat SPRM sekali lagi

Shafie sedia bantu siasatan

SPRM dah kenal pasti 32 individu

Naib Presiden WARISAN direman [METROTV]

Apa? Seleweng RM180 juta [METROTV]

Seleweng RM1.5 bilion

Pemimpin kanan WARISAN antara tiga ditahan SPRM

SPRM ‘mengganas’ lagi, RM29 juta disita

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 2:50 PM
Cindy (kanan) keluar dari lobi hospital selepas menamatkan tempoh tahanan reman terhadap Peter berhubung kes penyelewengan dana awam di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
Cindy (kanan) keluar dari lobi hospital selepas menamatkan tempoh tahanan reman terhadap Peter berhubung kes penyelewengan dana awam di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin