ADUN Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal memasuki kenderaan selepas di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
ADUN Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal memasuki kenderaan selepas di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
Norasikin Daineh


MAHKAMAH membenarkan SPRM menahan semula ADUN Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal bagi bantu siasatan penyelewengan dana berjumlah RM1.5 bilion.

Yusof, 57, dibenarkan untuk direman dua hari, bermula esok.

Adik kepada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal adalah individu kesembilan ditahan reman untuk membantu siasatan SPRM.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Cindy Mc Juce Balitus di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam prosiding itu, SPRM diwakili Timbalan Pendakwa Raya Rustam Anip serta Pegawai Pendakwa Mohd Faliq Basiruddin.

Yusof pula diwakili peguamnya Edward Paul dan Peter Lee.

Sebelum ini Yusof direman empat hari, sejak Rabu lalu.

Sehingga ini, SPRM sudah menahan reman 11 individu di Sabah dan Putrajaya membabitkan tujuh ahli politik, tiga ahli perniagaan dan penjawat awam bagi membantu siasatan kes.

Di Sabah, individu yang ditahan, Presiden parti WARISAN, Mohd Shafie; Naib Presiden, Datuk Peter Anthony, 46; Ketua Wira parti itu, Datuk Mohd Azis Jamman, 43 dan ahli WARISAN, Amarjit Singh, 47.

Selain itu, Ketua Penerangan Pemuda UMNO merangkap Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar 43; Ketua Pemuda UMNO Tawau Ariffin Kassim, 44, dan ahli perniagaan, Yu Sin Kong, 52.

Hamid Apdal, 52, yang juga ahli perniagaan serta menantunya, Manzur Hussien Awal Khan, 33, turut ditahan bagi membantu siasatan.

Di Putrajaya, wanita berusia 40 tahun yang juga bekas Timbalan Setiausaha di sebuah kementerian persekutuan turut ditahan reman bagi membantu kes sama.

Bagaimanapun, lapan daripada mereka iaitu Peter, Yu, Mohd Azis, Jamawi, Ariffin, Hamid, Manzur dan wanita 40 tahun itu sudah dibebaskan.

SPRM sebelum ini mendedahkan siasatan kes penyelewengan dana kementerian di Sabah membabitkan nilai RM1.5 bilion.

Ia berdasarkan peruntukan RM7.5 bilion untuk pelbagai projek pembinaan infrastruktur di Sabah antara 2009 hingga 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2017 @ 3:07 PM