Rondaan selain operasi berterusan pasukan keselamatan Malaysia serta Filipina menyebabkan kumpulan Abu Sayyaf hampir lumpuh.
Rondaan selain operasi berterusan pasukan keselamatan Malaysia serta Filipina menyebabkan kumpulan Abu Sayyaf hampir lumpuh.
Norasikin Daineh


SEORANG lagi suspek ahli kumpulan Abu Sayyaf (ASG) sedang diburu susulan kematian pengganas yang ditembak mati pasukan keselamatan di perairan Silam, Lahad Datu, Sabah semalam.

Suspek kini dipercayai berada di selatan Filipina.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata, maklumat mengatakan suspek masih ada di Filipina dan ada kalanya berkeliaran di perairan Sabah,

“Kita bekerjasama dengan pasukan keselamatan Filipina untuk mengesan suspek ini,” katanya ditemui selepas merasmikan majlis penutup Inisiatif Pesara Polis Sabah Sebagai Pemimpin Keselamatan Kejiranan di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.

Katanya, ASG hampir lumpuh kerana hampir semua ahlinya sudah ditangkap atau ditembak mati pasukan keselamatan.

“ASG dianggotai 11 ahli dan lima daripadanya ditangkap pasukan keselamatan Filipina, lima sudah mati iaitu empat daripadanya ditembak oleh pasukan keselamatan Filipina manakala satu lagi semalam.

“Suspek yang diburu turut berperanan dalam melakukan rompakan selain culik untuk tebusan (KFR). Mereka aktif sekitar 2014 hingga hujung 2015. Dengan itu, ASG hampir tumpas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 2:47 PM