FOTO hiasan
FOTO hiasan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Wahid Sahid anggota Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) yang ditembak Polis Filipina dalam operasi di Panamao, Sulu, Filipina, semalam dipercayai pengikut kepada Al Munjir Yadah.

Al Munjir tersenarai sebagai 21 individu paling dikehendaki pihak berkuasa Malaysia yang terbabit dalam jenayah rentas sempadan serta penculikan di Sabah.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, suspek dipercayai aktif melakukan jenayah di Sulu, Filipina.

Bagaimanapun katanya, pemeriksaan awal mendapati Wahid tiada dalam senarai 'wanted list' ESSCOM.

"Belum ada rekod atau maklumat Wahid Sahid ini pernah memasuki atau terbabit di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

"Bagaimanapun hasil risikan dan maklumat suspek Wahid ini adalah pengikut kepada Al Munjir yang disenaraikan antara 21 individu dikehendaki ESSCOM," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya hanya memasukkan penjenayah yang dikehendali dalam senarai sekiranya mereka mempunyai kaitan dengan jenayah rentas sempadan di ESSZONE.

Ahmad Fuad berkata, pihaknya akan memperketatkan kawalan keselamatan di sepanjang perairan di Sabah susulan kejadian itu.

Katanya, pasukan keselamatan turut meningkatkan risikan untuk memastikan anggota ASG tidak memasuki perairan negara.

"Pasukan keselamatan Filipina sedang melakukan operasi besar-besaran terhadap ASG. Kita juga meningkatkan kawalan dan pemantauan kerana kita bimbang mereka akan larikan diri masuk ke Sabah.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan anggota ASG yang terbabit aktiviti penyeludupan senjata, terbunuh dalam operasi di Panamao, Sulu, Filipina, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 6:33 PM