Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos ketika melawat salah satu pos keselamatan di perairan ESSZONE bagi memastikan kesiapsiagaan pasukan keselamatan. FOTO ESSCOM
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos ketika melawat salah satu pos keselamatan di perairan ESSZONE bagi memastikan kesiapsiagaan pasukan keselamatan. FOTO ESSCOM
Juwan Riduan


Lahad Datu: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berjaya menahan lima individu yang disyaki terbabit dalam aktiviti militan.

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, semua individu terbabit ditahan hasil operasi yang dijalankan sepanjang tahun lalu.

Katanya, semua suspek kini ditahan dibawah peruntukkan undang-undang Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

"Berdasarkan kajian yang dijalankan Cawangan Khas Bukit Aman, seramai 13 individu disenaraikan sebagai individu dikehendaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti militan dan jenayah rentas sempadan oleh pihak berkuasa tempatan.

"ESSCOM sentiasa memantau ancaman dan aktiviti individu terbabit daripada memasuki kawasan Zon Keselamatan Timur Sabah (ESSZONE)," katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Victor berkata, sejak penubuhan ESSCOM, agensi itu berjaya mengekang gerakan Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) dan Kumpulan Culik untuk Tebusan (KFRG) di kawasan darat dan perairan Sabah menerusi beberapa siri operasi bersepadu khas.

Katanya, kejayaan itu berhasil menerusi perkongsian maklumat perisikan dengan pihak berkuasa Filipina dan Indonesia.

"Sejak tahun 2015, seramai 20 anggota ASG mati ditembak manakala 17 anggota ASG atau KFRG berjaya ditahan.

"Selain itu, sepanjang 2014 hingga 2018, sebanyak 12 percubaan untuk menculik, merampas dan merompak berjaya digagalkan.

"Manakala 21 kes penculikan melibatkan 58 mangsa terdiri daripada 16 warga Malaysia dan 42 warga asing dari Indonesia, Filipina, China dan Taiwan direkodkan di Zon ESS yang mana penculikan terakhir berlaku pada 14 Januari 2020," katanya.

Victor berkata, daripada jumlah penculikan itu, seramai 43 tebusan sudah dibebaskan dengan wang tebusan manakala lapan diselamatkan oleh pihak berkuasa Filipina.

"Bagaimanapun, hanya enam tebusan ditemui mati atau terbunuh manakala seorang lagi masih hilang.

"Secara relatif, Zon ESS kekal stabil tanpa sebarang insiden penculikan berlaku sejak Februari 2020 hingga Disember 2023," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 5:13 PM