Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah melumpuhkan sel kumpulan kecil militan Abu Sayyaf (ASG) dengan menembak mati lima lelaki di kawasan hutan di belakang Taman Sri Arjuna, Beaufort, semalam.

Dalam kejadian jam 11.20 pagi, semua individu terbabit berjaya ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan dengan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah yang menjalankan operasi Ops Khas.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika pihak berkuasa cuba melakukan pemeriksaan terhadap beberapa rumah di kawasan berkenaan.

Seorang lelaki dikatakan secara tiba-tiba membuka pintu sebelum melepaskan tembakan ke arah polis.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, pada masa sama, beberapa lagi suspek yang bersenjatakan pistol dan parang turut keluar dan melancarkan serangan terhadap pasukan keselamatan.

Katanya, dalam usaha mempertahankan diri dan menghentikan ancaman, polis terpaksa membalas tembakan.

"Serangan berjaya dihentikan dan hasil pemeriksaan mendapati lima lelaki berjaya ditumpaskan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati dua daripada suspek memegang senjata pistol manakala tiga lagi bersenjatakan parang," katanya pada sidang media di IPK Sabah, di sini, hari ini.

Hazani berkata, hasil operasi gabungan PDRM dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) ini berjaya melumpuhkan satu sel Abu Sayyaf yang bersembunyi di Sabah yang mempunyai kaitan atau baiah dengan kumpulan Daish atau IS.

Katanya, pihaknya mengesyaki masih ada lagi saki baki atau tali barut kepada kumpulan Abu Sayyaf atau pejuang Daish yang bersembunyi di Malaysia khususnya di Sabah.

Hazani ketika sidang media susulan lima ahli kumpulan Abu Sayyaf yang ditembak mati dalam berbalas tembakan di kawasan rumah setinggan belakang Taman Sri Arjuna, Beaufort. FOTO JUWAN RIDUAN
Hazani ketika sidang media susulan lima ahli kumpulan Abu Sayyaf yang ditembak mati dalam berbalas tembakan di kawasan rumah setinggan belakang Taman Sri Arjuna, Beaufort. FOTO JUWAN RIDUAN

"Kita percaya dengan kejayaan ini, kita berjaya menghapuskan sel Abu Sayyaf di negeri ini dan PDRM Sabah akan terus meningkatkan risikan di seluruh negeri bagi mengesan saki baki ataupun sel-sel dari negara jiran yang bersembunyi di sini," katanya.

Menurutnya, identiti semua suspek yang ditembak mati masih belum dikenal pasti dan mereka dianggarkan berusia lingkungan 20 hingga 40-an.

Katanya, semua suspek tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan dipercayai warga asing.

"Polis turut merampas dua pucuk pistol, dua megazine peluru, 20 peluru hidup .45, dua kelongsong peluru dan tiga bilah parang.

"Dalam insiden ini, semua anggota dan pegawai polis terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Hazani berkata, pegawai kesihatan Hospital Beaufort yang hadir di tempat kejadian mengesahkan kelima-lima suspek meninggal dunia di lokasi itu.

Katanya, berdasarkan kepada maklum balas pihak berkuasa Filipina, empat suspek yang ditembak mati disahkan sebagai ahli kumpulan kecil ASG.

"Dua yang ditembak mati ini juga disahkan pernah terbabit dalam insiden pengeboman lori tentera pasukan keselamatan Filipina," katanya.

Sehubungan itu, Hazani mengingatkan pasukan keselamatan negara ini termasuk PDRM, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia supaya sentiasa berhati-hati kerana kemungkinan besar berlaku tindak balas ekoran kejayaan IPK Sabah kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 3:02 PM