NAJIB hadir merasmikan Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional 5.0 di UiTM, semalam.
NAJIB hadir merasmikan Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional 5.0 di UiTM, semalam.
Siraj Mohd Zaini


Shah Alam: Generasi muda diseru meneruskan sekali gus turut serta dalam pembangunan yang sedang dilaksanakan kerajaan kerana ia dibina untuk masa depan mereka.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, setiap tindakan sama ada mahu menjatuhkan sesuatu yang dibina kerajaan kerana mengharapkan masa depan yang lebih cerah adalah perbuatan sia-sia dan merugikan.

Menurutnya, sebagai contoh, kemusnahan seperti yang berlaku di negara Arab termasuk di Libya, Mesir dan beberapa negara lain menjadi bukti ia tidak memberi sebarang manfaat, malah merugikan rakyat negara itu sendiri.

“Malaysia adalah tanah tumpah darah kita, biarlah kita dilahirkan di sini dan disemadikan di sini.

“Jagalah negara kita sebaiknya, jika dilihat Arab Spring hanya kerana dirasakan itu penyelesaian untuk masa depan, lihatlah negara Arab yang hancur kini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional (PEMANAS) 5.0 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, di sini, malam semalam.

Turut hadir, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar, Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Prof Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah, Pengarah PEMANAS 5.0 Mohd Shahar Abdullah dan Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said.

PEMANAS 5.0 diadakan bermula 29 November lalu hingga semalam dengan menghimpunkan seramai 350 mahasiswa dari dalam dan luar negara.

Bertemakan ‘Mahasiswa Arkitek Malaysia Alaf Baru’, persidangan anjuran Biro Pendidikan UMNO itu membincangkan beberapa topik termasuk politik, ekonomi, agama serta pendidikan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 9:48 AM