GURU mengajar muridnya menggunakan 'Smart Board'. FOTO arkib NSTP
GURU mengajar muridnya menggunakan 'Smart Board'. FOTO arkib NSTP
Aizat Sharif


PELAKSANAAN menyeluruh Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang Dua (SKPMg2) yang sepatutnya bermula pada bulan Oktober lalu ditangguhkan ke tahun hadapan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, penangguhan rancangan berkenaan dilakukan setelah mendapati terdapat isu teknikal yang timbul ketika ia mula dilaksanakan.

"Saya sudah berhubung dengan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin dan melalui perbincangan terbabit... kami setuju untuk menangguhkan SKPMg2 sehingga tahun hadapan selepas terdapat beberapa isu teknikal yang perlu diselesaikan.

"Selepas perkara berkenaan diselesaikan, ia akan diumum semula dengan beberapa pembaharuan dilakukan" katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Kejohanan Bola Sepak Bawah 10 tahun Piala Menteri Pendidikan 2017 di Sekolah Kebangsaan Padang Terap, Kuala Nerang hari ini.

Tambahnya, penangguhan pelaksanaan itu akan membabitkan Jabatan Nazir dan Jaminan Kualiti di Kementerian Pendidikan.

"Perincian berkenaan penangguhan itu akan diumumkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran sama ada esok atau lusa.

"Buat masa ini memang kita sudah sepakat untuk menangguhkannya terlebih dahulu bagi menyelesaikan masalah yang timbul," katanya.

SKPMg2 diumumkan pada Januari lalu dimana pengisiannya yang membabitkan pengajaran abad ke-21 dengan penggunaan komputer dan gajet canggih mula dilaksanakan pada Oktober lalu.

Namun, difahamkan pelbagai masalah teknikal seperti ketidaksediaan sistem pengajaran itu di sekolah berlaku menyebabkan ia terpaksa ditangguhkan.

Mahdzir turut mengulas berkenaan isu keluhan guru yang dikerah untuk hadir ke sekolah terutama ketika cuti sekolah hanya untuk melakukan tugas pentadbiran yang berada di luar skop tugasan mereka di mana pihaknya akan mengeluarkan surat pekeliling khas kepada semua pengarah negeri untuk diedarkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah mengenai perkara itu dalam masa terdekat.

"Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) sudah pun diedarkan sejak lama dahulu yang menyatakan guru tidak perlu hadir ke sekolah pada musim cuti kecuali atas sebab rasmi seperti kursus atau peperiksaan sahaja.

"Namun saya difahamkan ada pihak yang mengabaikan perkara itu. Oleh itu, kementerian akan menghantar surat peringatan khas kepada semua pihak terbabit dengan harapan pihak pentadbir sekolah seperti guru besar atau pengetua dapat menggunakan kebijaksanaan untuk berbincang dengan guru mereka bagi mematuhi arahan berkenaan," katanya.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan, Mahdzir sudi meluangkan masa menyaksikan kejohanan bola sepak berkenaan yang menghimpunkan pemain bawah usia 10 tahun daripada 26 pasukan di Zon Utara yang merangkumi Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2017 @ 12:04 AM