Siti Aminah Mohd Yusof


Bukit Mertajam: Kementerian Pendidikan (KPM) menyediakan 18 inisiatif kewangan bagi membantu murid yang terjejas bencana banjir menjelang sesi pembukaan sekolah yang dijadual pada 19 dan 20 Mac ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif bantuan itu berkait rapat dengan keperluan pendidikan serta kebajikan murid, selain mengambil kira sebarang bentuk bantuan bersesuaian untuk mereka yang terbabit.

"Bencana paling kritikal ketika ini ialah banjir jadi ada isu-isu yang diberi tumpuan antaranya membabitkan buku sekolah, pakaian seragam, keperluan makan minum mereka jadi ini termasuk dalam 18 inisiatif kewangan yang kita boleh dahulukan.

"Dalam konteks bencana ada pelbagai sebab itu kita akan terus melihat selepas sekolah dibuka nanti dengan pihak berkenaan boleh mengemukakan permohonan kepada pihak sekolah.

"Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) turut akan mengambil kira bentuk bantuan yang boleh diberi," katanya selepas merasmikan Program Kembali ke Sekolah anjuran Persatuan Sahabat Kanak Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN) di sini, hari ini.

FADHLINA (tengah) bergambar bersama kanak-kanak kanser pada Program Kembali Ke Sekolah Persatuan Sahabat Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN). FOTO Danial Saad.
FADHLINA (tengah) bergambar bersama kanak-kanak kanser pada Program Kembali Ke Sekolah Persatuan Sahabat Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN). FOTO Danial Saad.

Fadhlina turut mengulangi komitmen KPM dalam memberi segala bentuk sokongan terutama untuk ibu bapa yang kerugian harta benda dan tiada halangan untuk anak-anak mereka ke sekolah dengan apa sahaja pakaian yang dimiliki.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, KPM sudah mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) berhubung arahan supaya guru memberi tumpuan kepada aktiviti suai kenal pada minggu awal persekolahan dan tidak boleh diadakan sesi pengajaran.

"Ini supaya mereka berasa selesa di sekolah membabitkan guru-guru dalam kelas dan ibu bapa boleh menemani anak-anak ke sekolah dan kita kembalikan momen seperti dahulu sebelum memulakan sesi pembelajaran sebenar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 6:02 PM
FADHLINA (kanan) sebak ketika menyampaikan barangan keperluan persekolahan kepada kanak-kanak kanser. Turut bersama Pengerusi FOCCAN Maznah Tayib (kiri). FOTO Danial Saad
FADHLINA (kanan) sebak ketika menyampaikan barangan keperluan persekolahan kepada kanak-kanak kanser. Turut bersama Pengerusi FOCCAN Maznah Tayib (kiri). FOTO Danial Saad