SEBAHAGIAN pelarian Rohingya di kem pelarian Kutupalong di Cox's Bazar, Bangladesh. FOTO REUTERS
SEBAHAGIAN pelarian Rohingya di kem pelarian Kutupalong di Cox's Bazar, Bangladesh. FOTO REUTERS
Zulfa Mohamad


SELEPAS memperjuangkan nasib rakyat Palestin termasuk menyertai 'Women's Boat For Gaza' (WBG), Tokoh Aktivis Palestin Antarabangsa Dr Fauziah Hasan melancarkan misi membantu wanita Rohingya mengandung di Cox's Bazar, Bangladesh.

Dianggarkan antara 30 hingga 40 peratus daripada 800,000 pelarian Rohingya di Bangladesh ketika ini ialah wanita mengandung dan kanak-kanak yang memerlukan rawatan.

Dr Fauziah berkata, pihaknya akan turut membawa peralatan 'ultra sound' mudah alih untuk memeriksa keadaan wanita Rohingya yang mengandung.

Selain itu katanya, peralatan seperti tilam dan ubat nyamuk akan turut dibawa bagi membolehkan wanita Rohingya yang mengandung tinggal dalam keadaan lebih selesa di negara berkenaan.

"Kami dapat tahu ramai wanita muda sedang mengandung antara 800,000 pelarian yang sedang mendapat perlindungan di Bangladesh.

"Justeru, kami akan ke sana bagi melaksanakan misi kemanusiaan membantu wanita mengandung dan kanak-kanak yang memerlukan rawatan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas program 'Hi-Tea4Humanity' di Penang Golf Resort, Kepala Batas, hari ini.

Program berkenaan anjuran bersama Rose2Rose (R2R) Pulau Pinang dan R2R Kedah bertujuan mengumpul dana bagi membantu wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa peperangan.

Hadir sama, Kolonel Bersara Tentera Amerika Syarikat Mary Ann Wright yang juga ketua WBG tahun lalu.

Dr Fauziah berkata, pihaknya mungkin tidak dapat memeriksa keadaan semua 800,000 pelarian Rohingya di Cox's Bazar tetapi akan membantu seramai mungkin wanita dan kanak-kanak.

"Kita berterima kasih kepada Kerajaan Bangladesh kerana menyembur vaksin bagi mencegah malaria daripada merebak.

"Sebab itu kami akan memberi tumpuan kepada wanita mengandung termasuk memberi kelambu bagi mengelak mereka digigit nyamuk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 8:14 PM