Mayat kanak-kanak yang ditemui selepas bot dinaiki ketika melarikan diri ke Bangladesh karam dekat Teknaf, Bangladesh, Jumaat lalu. - REUTERS (Mohammad Ponir Hossain)
Mayat kanak-kanak yang ditemui selepas bot dinaiki ketika melarikan diri ke Bangladesh karam dekat Teknaf, Bangladesh, Jumaat lalu. - REUTERS (Mohammad Ponir Hossain)
Reuters

HAMPIR 90,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh sejak keganasan oleh tentera Myanmar yang mensasarkan etnik berkenaan tercetus di Rakhine.

Pertumpahan darah yang sudah mengorbankan sekurang-kurangnya 400 orang itu tercetus berikutan serangan oleh kumpulan bersenjata dipercayai pemberontak Rohingya yang mensasarkan beberapa pos polis dan tentera pada 25 Ogos lalu.

Kerajaan Myanmar menuduh militan Rohingya membakar rumah penduduk dan menyebabkan kematian orang awam namun agensi pemerhati bebas dan pelarian Rohingya ke Bangladesh mendakwa tentera kerajaan cuba menghalau etnik Rohingya melalui kempen membakar penempatan serta membunuh penduduk.

Pemimpin Myanmar, pemenang Anugerah Keamanan Nobel, Aung San Suu Kyi, kini menghadapi tekanan antarabangsa, termasuk daripada Bangladesh, Turki, Indonesia dan Pakistan.

Myanmar menegaskan ia melancarkan operasi sah memerangi pengganas yang bertanggungjawab menyerang pos polis dan tentera sejak Oktober tahun lalu.

Pelarian Rohingya berebut mengambil bantuan makanan di Kutupalang dekat Cox's Bazar, Bangladesh, semalam. - Foto REUTERS (Mohammad Ponir Hossain)
Pelarian Rohingya berebut mengambil bantuan makanan di Kutupalang dekat Cox's Bazar, Bangladesh, semalam. - Foto REUTERS (Mohammad Ponir Hossain)

Menurut perangkaan pekerja PBB di kem pelarian Cox's Bazar, Bangladesh, 87,000 pelarian baru datang ke situ, menjadikan jumlahnya ini hampir 150,000 orang.

Antara pelarian baru itu, termasuk kira-kira 16,000 kanak-kanak yang sepatutnya sedang bersekolah dan 5,000 berusia sehingga tujuh tahun, tiba dalam keadaan keletihan dan kelaparan.

Menurut pegawai kerajaan Bangladesh, sekurang-kurangnya 53 mayat, sebahagian besarnya ada kesan peluru dan tetakan ditemui dalam Sungai Naf yang memisahkan Myanmar dengan Bangladesh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2017 @ 6:52 PM