Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
AFP

DHAKA: Seorang penerbit filem warga Jerman dan pembantunya cedera dibelasah sekumpulan etnik Rohingya yang menyangka mereka penyeludup manusia ketika melawat sebuah kem pelarian di Cox’s Bazar, Bangladesh.

AFP memetik ketua polis tempatan, Abul Khair berkata, pelarian Rohingya bertindak demikian selepas menyedari kehadiran penerbit filem itu bersama dua lagi rakan dan pembantu warga Bangladesh mengagihkan hadiah kepada kanak-kanak serta wanita di Kutupalong.

Katanya, mangsa yang tidak dikenal pasti dan pembantunya itu terus dibelasah hingga terpaksa dibantu oleh anggota polis dan tentera.

“Seorang warga Jerman dan pembantu warga Bangladesh itu dibelasah menyebabkan anggota polis dan tentera terpaksa datang membantu.

“Mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan cuma memberitahu tujuan datang ke kem adalah untuk membuat rakaman filem pendek. Kes ini cuma salah faham apabila mereka disangkakan sebagai penyeludup manusia,” katanya.

Polis menjelaskan, aktiviti pemerdagangan manusia dikesan semakin aktif di beberapa kem pelarian sejak beberapa bulan lalu dengan mengambil bayaran tertentu daripada etnik Rohingya yang ingin masuk ke Malaysia dengan menaiki bot.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 10:20 PM