Mary Victoria

PERSATUAN Kebajikan Kasih Sayang (AIXIN) menyumbangkan sayur-sayuran secara percuma kepada lebih 100 keluarga setiap minggu

bertujuan meringankan kos sara hidup golongan berpendapatan rendah.

Pengasasnya, Datin Nicole Fam berkata, inisiatif berkenaan dimulakan sejak dua tahun lalu di beberapa kawasan pangsapuri di sekitar Kulai yang dihuni golongan kurang berkemampuan.

Dia berkata, sumbangan lebih 10 jenis sayur diagihkan tiga kali seminggu iaitu Isnin, Selasa dan Khamis.

“Bekalan sayur diperolehi daripada kebun sayur salah seorang ahli persatuan ini di Kulai.

"Idea bagi mengagihkan sayur ini timbul apabila saya melawat kebun berkenaan dan meminta kebenaran daripada pengusahanya untuk menyumbangkannya kepada golongan memerlukan. Ini kerana kebanyakan keluarga tidak dapat menjamah sayuran berikutan mahu berjimat berikutan kos sara hidup meningkat," katanya.

Nicole berkata, AIXIN yang ditubuhkan sejak Mei 2015 menjalankan usaha mengumpul bekalan sayuran itu dan diagihkan kepada penduduk dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda milik ahlinya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 2:11 PM