FAM (tengah) menyerahkan barangan keperluan kepada mangsa banjir.
FAM (tengah) menyerahkan barangan keperluan kepada mangsa banjir.
Saipul Adli Mohamad


PERSATUAN Kebajikan Kasih Sayang (Aixin) Kulaijaya menghantar 40 tan barangan keperluan dari Johor dalam usaha membantu mangsa yang terjejas akibat banjir di Pulau Pinang, semalam.

Pengerusinya, Datuk Fam Cher Weh berkata, barangan dibawa itu adalah untuk digunakan mangsa bagi pasca banjir selepas mereka pulang ke rumah masing-masing.

Beliau bersama 20 ahli persatuan itu singgah di enam kawasan terjejas dengan banjir untuk mengagihkan barangan keperluan pasca banjir dan lokasi pertama barangan keperluan itu diagihkan ialah Dewan Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah di Bukit Mertajam sebelum beralih ke beberapa kawasan terjejas di sekitar daerah berkenaan.

"Saya tengok mangsa banjir memang sedih kerana terdiri daripada orang tua, kanak-kanak dan OKU (orang kurang upaya). Kami bawa semua ini dari Johor, ada pam, air, makanan dan tilam untuk penduduk kerana kita semua rakyat Malaysia dan ini tanggungjawab kami untuk bantu.

"Antara barangan diagihkan termasuk lampin untuk orang dewasa, penyapu, berus, makanan, tilam, selimut serta ubatan luaran. Malah, kami turut serahkan tiga mesin pam air berkuasa tinggi untuk digunakan agensi bantuan dan menyelamat bagi membersihkan rumah mangsa banjir," katanya.

Fam berkata, pihaknya dibantu Ketua Pemuda MCA Pulau Pinang, Datuk Michael Lee bersama 30 anggota skuad bantuan krisis mereka dan turut singgah di kawasan perumahan kos rendah Desa Damai dan Bayan Baru.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 6:55 PM