ABD Taib (tengah) menerima sumbangan beras daripada Mohd Nor (kiri). FOTO Adnan Ibrahim
ABD Taib (tengah) menerima sumbangan beras daripada Mohd Nor (kiri). FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


BERTUJUAN meringankan beban orang ramai sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebuah syarikat membuat kotak menyumbang 1.4 tan beras untuk diagihkan kepada penduduk di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap.

Pengurus Pengeluaran Far East Pakaging Industrial Sdn Bhd, Mohd Nor Muda berkata, pihaknya maklum bahawa penduduk sudah menerima bantuan bekalan makanan asas ketika PKP mula dilaksanakan pada 18 Mac lalu namun percaya lebih ramai lagi golongan B40 yang terjejas apabila tempoh pelaksanaan perintah itu dilanjutkan.

“Untuk itu, syarikat kami mengambil pendekatan awal dengan menyediakan bekalan beras kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Abd Taib Abu Bakar yang akan diagihkan kepada keluarga yang benar-benar terputus bekalan makanan.

“Diharapkan sumbangan ini lebih ramai penduduk di sini dapat diberikan bekalan makanan asas walaupun mereka sudah Bantuan Prihatin Negara (BPN),” katanya.

Mohd Nor berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan beras kepada Abd Taib di kediamannya di Kampung Melayu, Simpang Renggam, hari ini.

Sementara itu, Abd Taib berkata, lebih 1,000 keluarga kecuali penduduk di Bandar Baru Ibrahim Majid (BBIM) dan Kampung Datuk Ibrahim Majid (KDIM) yang berada di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) sudah menerima bantuan daripada pihaknya.

Katanya, dua fasa penghantaran sudah dilakukan dan ia membabitkan hampir keseluruhan penduduk yang terjejas serta terputus punca pendapatan akibat PKP menerima bantuan bekalan makanan asas masing-masing.

“Sumbangan beras yang diterima ini akan digunakan untuk menampung keperluan makanan asas keluarga yang masih belum menerima sebarang bantuan selain golongan asnaf dan ahli keluarga yang ramai sehingga PKP ditamatkan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2020 @ 2:59 PM