Sebahagian daripada 2,402 kanak-kanak pada  majlis khatam.
Sebahagian daripada 2,402 kanak-kanak pada majlis khatam.
Helmy Abd Rahman

Kuala Nerus: Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menyiasat dan memantau kegiatan sindiket yang mengendalikan wakaf al-Quran dengan mengenakan bayaran sehingga ratusan ringgit di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri Ghazali Taib berkata, siasatan menjurus kepada sama ada dana yang dikutip itu sampai kepada madrasah dan pusat tahfiz seperti didakwa atau hanya digunakan untuk kepentingan peribadi.

“Kami dapat tahu ada pengendali wakaf al-Quran membuat kutipan tanpa kebenaran mengenakan bayaran sehingga RM600 bagi setiap naskhah al-Quran kepada orang ramai untuk diwakafkan.

“Mereka mendakwa setiap al-Quran yang diwakafkan itu diserahkan kepada madrasah tahfiz dan akademi pengajian Islam, sekali gus mengelirukan orang ramai.

“Kerajaan negeri sudah mengarahkan JHEAT menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap kegiatan berkenaan,” katanya selepas majlis Perasmian Program Khatam Pintar al-Quran Peringkat Daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus di Stadium Tertutup Gong Badak di sini, semalam.

Ghazali berkata, mengikut Enakmen Wakaf Terengganu, setiap pertubuhan dan individu yang menjalankan operasi wakaf di negeri itu perlu mendapatkan kebenaran daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu.

Program Khatam Pintar Al-Quran Peringkat Daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus membabitkan 2,402 kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 4:08 AM