AINUN Mardhiah bersama bapanya dan jemaah surau pada majlis Khatam al-Quran di Surau Kubang Besar, Marang. FOTO ihsan FB
AINUN Mardhiah bersama bapanya dan jemaah surau pada majlis Khatam al-Quran di Surau Kubang Besar, Marang. FOTO ihsan FB
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: "Ainun membaca al-Quran sebanyak dua muka surat sehari secara istiqamah (berterusan) sejak Oktober 2019," kata Mohd Hafizuddin Senawi, bapa kepada Ainun Mardhiah.

Gambar Ainun Mardhiah ,5, dari Kampung Kubang Besar, Bukit Payong, di media sosial sejak semalam selepas berjaya khatam 30 juzuk al-Quran pada usia lima tahun pada Majlis Khatam al-Quran di Surau Kubang Besar, Marang.

Kejayaan Ainun itu mendapat perhatian dan pujian warga net yang menganggapnya sebagai pencapaian luar biasa dan dibanggakan.

Mohd Hafizuddin, 32, berkata, dia bersyukur kerana hasratnya untuk melihat anaknya khatam al-Quran pada usia muda tercapai.

"Saya dan isteri, Saodah Salleh, 30, memperdengarkan al-Quran kepada Ainun sejak dia masih dalam kandungan.

"Kami ialah penghafal al-Quran dari Maahad Tahfiz Padang Midin, jadi menjadi kelaziman kami membaca al-Quran pada setiap hari.

"Alhamdulillah, berkat daripada amalan itu, Ainun turut berminat belajar al-Quran dan sudah boleh membaca al-Quran pada usia tiga tahun," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, dia dan isteri bergilir-gilir mengajar anaknya itu membaca al-Quran dan apabila selesai solat Maghrib setiap hari, Ainun akan menghabiskan bacaan dua muka surat sehari.

"Saya tetapkan hanya dua muka surat sehari dan dalam tempoh sebulan Ainun berjaya membaca tiga juzuk al-Quran.

"Ainun tidak perlu dipaksa atau disuruh untuk membaca al-Quran kerana amalan itu sudah menjadi kelaziman dan rutin hariannya," katanya yang berkerja di Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Menurutnya, dia dan isteri tidak menyediakan makanan khas, tetapi menjaga pemakanan anaknya itu termasuk mengehadkan pengambilan makanan tidak berkhasiat itu.

Katanya, selepas ini Ainun akan mula menghafal al-Quran dan setakat ini sudah menghafal 10 surah lazim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 4:31 PM