Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Sebanyak 1.4 tan metrik abu al-Quran lama dan rosak dilupuskan di perairan Terengganu kira-kira 10 batu nautika dari jeti Jabatan Laut Wilayah Timur di sini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas Negeri Ghazali Taib berkata, ia adalah abu daripada 49,000 kilogram al-Quran yang dibakar di relau oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), pertama kali dilaksanakan menggunakan inovasi baru dengan dijadikan kiub.

"Ini adalah program pelupusan al-Quran keenam. Sebelum ini, kerja pembuangan abu sukar kerana abu berterbangan lalu kita melakukan inovasi dengan nasihat Jabatan Alam Sekitar.

"Proses pembakaran dan menjadikan kiub akan diteruskan kerana ia lebih cepat dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) meluluskan bantuan membeli mesin penggaul," katanya di sini, hari ini.

Turut hadir Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Datuk Wan Mohamad Wan Ibrahim.

Program itu bermula pada 10 pagi manakala sesi pelupusan mengambil masa kira-kira sejam.

Kesemua al-Quran itu dikumpul dari seluruh negeri daripada orang perseorangan, masjid dan surau lama yang diterima daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) akibat banjir besar pada 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2016 @ 4:55 PM
Ghazali (dua kanan) bersama Wan Mohammad kanan) melihat abu al-Quran yang sudah  diproses dalam berbentuk kiub untuk dilupuskan dan Ghazali membuang abu al-Quran dalam Laut China Selatan pada kedudukan 10 batu nautika dari pantai Terengganu. - Foto ASWADI ALIAS.
Ghazali (dua kanan) bersama Wan Mohammad kanan) melihat abu al-Quran yang sudah diproses dalam berbentuk kiub untuk dilupuskan dan Ghazali membuang abu al-Quran dalam Laut China Selatan pada kedudukan 10 batu nautika dari pantai Terengganu. - Foto ASWADI ALIAS.