NURINA menunjukkan sijil kepada ibunya Zanariah Ahmad dan bapa Mohd Suhuli Hassan.
NURINA menunjukkan sijil kepada ibunya Zanariah Ahmad dan bapa Mohd Suhuli Hassan.
Suraya Roslan

Gombak: “Walaupun orang memandang saya pelik, itu pembakar semangat untuk saya berjaya dan Alhamdulillah hari ini saya menerima pengiktirafan terbesar dalam hidup,” kata penerima Anugerah Khas untuk graduan orang kurang upaya (OKU) yang berjaya dalam bidang akademik dan kokurikulum, Nurina Mohd Suhuli, 23.

Nurina antara 5,165 graduan yang menerima ijazah sempena Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-33 yang berlangsung sejak semalam.

Graduan Kuliyah Arkitek dan Rekabentuk Alam Sekitar disahkan kerdil sejak dalam kandungan ibunya, lebih menarik kembarnya yang kini menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor dilahirkan normal berbanding dirinya.

“Saya akui kadang-kadang tiada keyakinan diri dan malu berdepan dengan orang ramai yang melihat saya lain daripada lain.

“Bagaimanapun saya selalu menjadikan pasangan kembar sebagai pembakar semangat dan saingan.

Menurutnya, dia mengakui kesukaran menyesuaikan diri di kampus antara cabaran perlu dilalui apabila meja dan kerusi dalam dewan kuliah terlalu tinggi.

“Saya menyatakan masalah kepada pengurusan UIAM, mereka bermurah hati menyediakan meja dan kerusi khas untuk saya serta parkir OKU,” katanya.

ADAM Malik berkongsi kegembiraan bersama ibunya Suzy Harun.
ADAM Malik berkongsi kegembiraan bersama ibunya Suzy Harun.

Selain Nurina, seorang lagi graduan OKU pendengaran, Adam Malik Ikmal Hisham, 24, menerima Anugerah Hafazan Ibn-Mas’ud Al-hafiz yang mengekalkan prestasi cemerlang dalam hafazan al-Quran dan akademik.

Bagi Adam Malik, kekurangan diri tidak menghalangnya untuk berjaya dalam akademi apabila memilih Ijazah Sarjana Muda Kuliyah Sains Bio Perubatan dengan mendapat keputusan cemerlang setiap semester.

“Ianya bukan halangan, bahkan pemangkin semangat untuk berjaya. Yang penting saya berjaya dalam hidup dan membanggakan ibu dan bapa,” katanya.

Dalam sidang pertama itu, bekas Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Undang-Undang sebagai penghargaan terhadap sumbangan besarnya yang banyak melakar penambahbaikan dalam sistem perundangan negara.

Ijazah disampaikan Presiden UIAM Tan Sri Dr Rais Yatim pada sesi pertama konvokesyen tiga hari bermula hari ini di Dewan Utama Pusat Kebudayaan UIAM, Kampus Gombak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 8:53 AM