Saidin Yaacob dan Aiman melihat barangan dalam rumahnya yang rosak dan diselaputi lumpur tebal.
Saidin Yaacob dan Aiman melihat barangan dalam rumahnya yang rosak dan diselaputi lumpur tebal.
Zulfa Mohamad


PENDUDUK Labuh Banting, Tasek Gelugor menyifatkan kejadian banjir baru-baru ini bukan saja menggamit memori banjir besar 2003 malah dianggap lebih buruk kerana terpaksa membersihkan lumpur setebal enam sentimeter (cm) dalam rumah.

Saidin Yaacob, 56, berkata, rumahnya antara yang paling teruk dilanda banjir kali ini kerana paras air mencecah leher di dapur selain hampir semua perabot dan barangan elektrik rosak dimasuki selut.

Katanya, kedudukan rumahnya yang hampir dengan Sungai Kulim menyebabkan air naik mendadak menyebabkan 10 ahli keluarganya termasuk dua cucu berusia 14 hari dan 35 hari berpindah ke Pusat Penempatan Sementara (PPS).

"Kalau 2003 disifatkan banjir paling besar pernah berlaku tapi bagi saya banjir kali ini lebih buruk kerana air bercampur selut merosakkan semua barang termasuk beberapa naskhah Al-Quran untuk kanak-kanak mengaji.

"Tiada barang yang dapat diselamatkan manakala kerugian dianggarkan RM22,000," katanya.

Tinjauan mendapati 40 pelatih Jabatan Pertanian bergotong-royong membersihkan rumah penduduk di Labuh Banting.

Penduduk lain, Aiman Zulkifli, 19, berkata, dia dan ibunya Zuraini Yaacob, 45, serta tiga saudaranya berpindah 8 malam, Sabtu lalu selepas air naik secara mengejut.

Katanya, mereka hanya sempat mengambil beberapa helai baju ketika air naik paras pinggang manakala barangan lain semuanya musnah.

"Baru hari ini kami masuk ke rumah dan terkejut kerana semua barang berselerak selain dipenuhi selut.

"Kejadian banjir kali ini lebih teruk berbanding 2003," katanya.

Ketika ini 67 keluarga lagi masih berada di PPS Labuh Banting dan mereka dijangka pulang untuk membersihkan rumah hari ini.

Foto Zulfa Mohamad

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 12:17 PM