Kerbau disumbat dalam MPV namun gagal dilarikan empat pencurinya. FOTO ihsan pembaca.
Kerbau disumbat dalam MPV namun gagal dilarikan empat pencurinya. FOTO ihsan pembaca.
Zulfa Mohamad


EMPAT lelaki berpura-pura memancing udang galah sebelum menyumpit kerbau milik penduduk yang ditambat di tepi Sungai Kulim dekat Labuh Banting, Tasek Gelugor, 11 pagi hari ini.

Kumpulan terbabit masuk ke kampung berkenaan dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Odyssey.

Sambil memancing, mereka menyumpit kerbau bagi melalikannya sebelum menyumbat haiwan berkenaan ke dalam MPV berkenaan.

Bagaimanapun, gelagat mereka dilihat seorang remaja yang kemudiannya memaklumkan kepada orang kampung.

Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Labuh Banting, Saidin Yaacob berkata, kumpulan terbabit yang panik melarikan diri dengan meninggalkan kerbau dalam MPV.

“Mereka mencuri dua motosikal penduduk ketika melarikan diri. Pada masa sama, lelaki terbabit bersenjatakan parang menyebabkan penduduk tidak berani mengambil risiko,” katanya.

Difahamkan, kerbau cuba dilarikan itu berharga antara RM7,000 hingga RM8,000 seekor.

Saidin berkata, pemilik kerbau berkenaan yang berusia 50-an sebelum ini kehilangan tiga ekor lembu pada kejadian Ramadan lalu.

“Kami syak kumpulan terbabit adalah individu sama yang melarikan kerbau hari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 4:51 PM