PENIAGA Medan Selera Kampung Gajah kesal kerana masalah banjir kilat setiap kali hujan lebat tidak selesai sejak 13 tahun lalu. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
PENIAGA Medan Selera Kampung Gajah kesal kerana masalah banjir kilat setiap kali hujan lebat tidak selesai sejak 13 tahun lalu. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
Mohamad Fahd Rahmat

Kluang: Peniaga Medan Selera Kampung Gajah di sini kesal kerana masalah banjir kilat setiap kali hujan lebat tidak selesai sejak 13 tahun lalu.

Peniaga, Mohd Amirul Hafiz Abdulah, 50, berkata sudah banyak kali isu berkenaan diadukan kepada pihak bertanggungjawab namun hampa kerana tiada tindakan penyelesaian dilakukan.

Katanya, akibatnya peniaga di medan niaga berkenaan sering bertukar dan kini hanya tinggal dua peniaga sahaja termasuk dirinya yang masih bertahan.

"Masalah di sini setiap kali hujan mesti banjir, tak kira walau setengah jam pasti akan banjir.

"Apabila kita buat aduan tiada orang yang bantu dan terpaksalah kita sendiri yang buat kerja bersihkan lumpur," katanya ketika ditemui semalam.

Katanya, paling teruk kejadian banjir ini pada 2006 apabila air banjir naik setinggi kira-kira 0.5 meter dan kelmarin banjir berlaku lagi digerainya.

Mohd Amirul berkata, masalah berkenaan berpunca daripada longkang di sekeliling medan niaga berkenaan yang tertimbus tanah dan tidak diselenggara dengan baik.

"Air dari bukit membawa tanah dan memenuhkan longkang sekali gus menyebabkan ia tersumbat.

"Apabila banjir sahaja, memang kami anak beranak dan pembantu yang bertungkus lumus membersihkan lantai yang dipenuhi selut.

"Jika dibiarkan lumpur berkenaan dan kering, kawasan ini akan berdebu dan berbau busuk, jadi kami tak punya pilihan lain terpaksa membersihkannya sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kluang Norliyati Md Nor ketika dihubungi berkata, maklum mengenai isu berkenaan dan sedang menyiapkan laporan bagi dihantar kepada kerajaan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 11:07 AM