KEADAAN di perkarangam rumah penduduk yang terjejas akibat tragedi kepala air di Kampung Seberang Pekan Yan. Foto Noorazura Abdul Rahman
KEADAAN di perkarangam rumah penduduk yang terjejas akibat tragedi kepala air di Kampung Seberang Pekan Yan. Foto Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman

Yan: Kerja membersih sisa banjir lumpur dan kayu balak hanyut di kawasan dilanda bencana kepala air di daerah ini, minggu lalu, dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Guar Chempedak, Datuk Ku Rahman Ku Ismail berkata, ketika ini penduduk yang terjejas masih meneruskan aktiviti membersih rumah dan kawasan sekitar yang dipenuhi lumpur.

Katanya, kerja pembersihan di bahagian dalam rumah penduduk sudah mencapai sehingga 95 peratus dan mereka turut dibantu sukarelawan yang simpati dengan nasib menimpa orang ramai.

"Kebanyakan penduduk memulakan kerja membersihkan rumah yang dimasuki lumpur sejak Khamis lalu, dan kita ada membantu menghantar jengkaut bagi memudahkan kerja mengeluarkan selut.

"Cuma keadaan di luar rumah dan kawasan persekitaran belum dapat dibersihkan sepenuhnya kerana masih ada banyak longgokan selut dan pokok hanyut perlu dipindahkan ke tempat pembuangan," katanya yang dilapor Berita Harian.

Dalam kejadian minggu lalu, kira-kira 800 keluarga di daerah ini antaranya di Kampung Setol, Kampung Permatang Keramat, Titi Hayun dan Batu Hampar terjejas akibat dilanda kepala air dan banjir lumpur.

Ku Rahman berkata, bagi kerja pembersihan berskala besar, pihaknya menjangkakan ia dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan selain turut bergantung keadaan cuaca.

"Pekan Yan juga semakin pulih dan peniaga sudah dapat kembali membuka kedai, cuma masih ada sampah yang belum dikutip dan kita jangka Majlis Daerah Yan (MDY) akan menyelesaikannya dalam tempoh terdekat.

"Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu kerja baik pulih infrastruktur dipercepatkan juga mampu membantu penduduk kembali hidup dalam keadaan normal," katanya.

Sementara itu, tinjauan di beberapa kampung terjejas akibat tragedi kepala air mendapati kerja pembersihan masih dijalankan walaupun sudah seminggu tragedi berlalu.

Jentera seperti jentolak, jengkaut dan lori digunakan bagi membuang lumpur di pekarangan rumah penduduk.

Penduduk di Kampung Seberang Pekan Yan, Sukina Abu Bakar, 52, berkata dia masih tidak dapat tidur lena berikutan masih trauma dengan tragedi kepala air Rabu minggu lalu.

Katanya, selama 17 tahun tinggal di kampung itu, kejadian itu adalah yang terburuk dalam sejarah hidupnya.

"Lumpur masuk sehingga ke paras betis, kami dibantu orang ramai, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta parti politik membersihkan kawasan rumah.

"Bantuan kami terima secara berterusan termasuk bantuan makanan, tilam, periuk dan sebagainya. Cuma lumpur yang ada depan rumah ini sukar untuk dibuang ke tempat lain, sekarang pula musim hujan, ia kembali mendap dan masuk ke dalam longkang, sudah beberapa kali longkang terpaksa dikorek semula," katanya.

Omar Razak, 72, pula berkata dia terpaksa meminta bantuan saudara mara untuk membersihkan rumahnya selepas rumahnya dimasuki banjir sebanyak dua kali iaitu pada petang Rabu dan malam Jumaat.

"Saya tak mampu buat apa-apa kerana sebelah badan kanan saya terkena strok 13 tahun lalu. Adik saya Zaleha, 59, kini sedang mengasingkan pakaian kami yang ditenggelami lumpur.

"Banyak bantuan yang kami terima daripada pelbagai pihak. Lantai rumah masih kami biarkan kosong kerana bimbang berlaku kepala air sekali lagi.

"Sejak kecil saya tinggal di sini, tapi kali ini lah (banjir) paling teruk, saya rasa bersyukur kerana semuanya sudah selesai walaupun peti ais dan mesin basuh rosak ditenggelami lumpur," katanya yang tinggal di Kampung Telok Mat Acheh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 6:00 PM