Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Hujan berterusan selama dua jam bermula petang semalam menyebabkan rumah penduduk di Taman Murni Permai, di sini dinaiki air.

Penduduk yang ditemui memaklumkan air mula memenuhi kawasan rumah sekitar 7.15 malam tadi ketika kebanyakan penduduk sedang bersiap untuk menunaikan solat Maghrib.

Tinjauan NSTP mendapati kerja-kerja pemindahan mangsa ke pusat pemindahan banjir (PPS) sedang dilakukan.

Sehingga 1 pagi, sebuah PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal dibuka bagi menempatkan seramai 151 mangsa termasuk enam orang bayi daripada 45 keluarga.

Kesemua mangsa mula dipindahkan PPS di SK Tok Jembal kira-kira jam 10 malam tadi.

Penduduk, Azman Sulong, 40, berkata, dia yang pulang dari tempat kerjanya kira-kira jam 6.15 petang terkejut apabila mendapati rumahnya dinaiki air.

"Kawasan ini memang sering dinaiki air tetapi kali ini air naik dengan cepat.

"Malah, saya sendiri tidak sempat mengalihkan motosikal berikutan kenaikan air secara mendadak," katanya yang bekerja sebagai mekanik.

Bagi Mohd Daud Yaacob, 60, kawasan perumahan berkenaan memang akan dinaiki air jika hujan berterusan lebih dua jam.

"Kita sudah biasa dengan banjir dan memang bersedia membuat persiapan jika melihat hujan tidak berhenti dengan kejadian paling teruk berlaku pada 2014 apabila air mencecah sehingga paras peha," katanya.

PENDUDUK berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan Tok Jembal. FOTO Ghazali Kori
PENDUDUK berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan Tok Jembal. FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 9:44 AM