PEMILIK Facebook Mohd Ehsan berkongsikan gambar bayi berkenaan. FOTO Togi Marzuki
PEMILIK Facebook Mohd Ehsan berkongsikan gambar bayi berkenaan. FOTO Togi Marzuki
Togi Marzuki


SUAMI isteri terkejut apabila menemui bayi lelaki di gerai sarapan milik mereka di Kampung Parit Selangor, Pontian, 6.30 pagi tadi.

Tarikon Paimon, 65, berkata, ketika kejadian dia bersama isteri, Saijah Samin, 52, pergi ke gerai terbabit yang terletak lima meter dari rumah mereka sebelum terdengar tangisan bayi.

"Kami terkejut dan mencari punca tangisan itu sebelum bunyinya semakin kuat apabila menghampiri gerai sarapan kami. Kemudian saya terlihat seorang bayi lelaki yang cukup sifat ditinggalkan di atas simen dengan ditutupi kain putih.

"Tiada sebarang nota atau beg lain ditinggalkan bersama bayi itu, sebelum saya meminta bantuan jiran yang juga bidan untuk membersihkan bayi berkenaan.

Tarikon berkatan, dia terus menghubungi Balai Polis Pontian sebelum anggota polis datang untuk menjalankan siasatan.

“Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut tiba di rumah dan membawa bayi itu ke Hospital Pontian untuk menjalani pemeriksaan," katanya ketika ditemui.

Pesara guru itu berkata, ketika ditemui, tali pusat bayi itu masih belum tertanggal dan badannya dalam keadaan bersih kecuali mukanya berpasir mungkin disebabkan diletak di atas simen.

"Saya berharap pihak berkuasa dapat memberkas ibu bapa bayi berkenaan, sampai hati mereka meninggalkan bayi di atas lantai tanpa memikirkan keselamatannya.

"Bayi itu bukan saja kesejukan malah berdepan risiko digigit haiwan liar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zakaria Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, bayi lelaki seberat 3.5 kilogram itu kini ditempatkan di Hospital Pontian buat sementara waktu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat membuang bayi berkenaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Berikutan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Berita penemuan bayi itu turut dikongsikan penduduk setempat di laman sosial termasuk pemilik Facebook Mohd Ehsan yang berkongsi gambar bayi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 8:35 PM