CHONG (tengah) menunjukkan pemotong besi yang ditinggalkan suspek. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque
CHONG (tengah) menunjukkan pemotong besi yang ditinggalkan suspek. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque
Ekhwan Haque Fazlul Haque


GURU wanita kerugian RM20,000 apabila empat lelaki memecah masuk rumahnya di Kampung Meradik di Kota Samarahan, awal pagi semalam.

Dalam kejadian 2.30 pagi itu, mangsa yang berusia 38 tahun bersama tiga anak serta ibu dan bapa mentuanya sedang tidur sebelum rumah mereka dipecah masuk.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Deputi Superintendan Lee Chong Chern berkata, suspek kemudian mengikat mangsa bersama ibu dan bapa mentuanya di dalam sebuah bilik sebelum menyelongkar barang berharga.

Menurutnya, suspek kemudiannya menemui wang tunai RM1,500, gelang, rantai emas dan dua telefon bimbit selain tablet.

"Tiga daripada empat suspek memakai topeng dan bersenjatakan pisau itu dipercayai warga Indonesia, memecah masuk rumah mangsa selepas memotong besi jeriji tingkap di bahagian belakang.

"Suspek mengarahkan mangsa dan ahli keluarganya untuk menuruti arahan mereka sekiranya tidak mahu dicederakan namun usaha bapa mentua mangsa yang cuba melawan menyebabkan warga emas itu cedera di belakang badan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Samarahan, hari ini.

Chong berkata, suspek kemudian melarikan diri bersama barangan berharga milik mangsa namun meninggalkan peralatan pecah rumah seperti pemotong besi, spanar, pemukar skru dan sarung tangan yang digunakan ketika kejadian di luar rumah.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan suspek melarikan diri menggunakan kenderaan yang diletak jauh dari rumah mangsa bagi mengelak kehadiran mereka dikesan penduduk kampung.

"Usaha mengesan suspek kini sedang giat dijalankan berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada mangsa serta risikan polis menerusi Ops Rantau.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan menggunakan senjata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 3:12 PM