BOMBA membantu mangsa. FOTO Jannah Kho
BOMBA membantu mangsa. FOTO Jannah Kho
Ekhwan Haque Fazlul Haque

“AYAH”. Itu perkataan yang ditutur penuntut Kolej Tun Ahmad Zaidi, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kota Samarahan, ketika ditemui terbaring berlumuran darah selepas terjatuh dari tingkat dua kolej kediaman itu, kelmarin.

Gadis berusia 23 tahun itu dan berasal dari Kelantan ditemui dalam keadaan berlumuran darah jam 1.55 tengah hari oleh penghuni kolej berkenaan.

Ketua Polis Daerah Samarahan, Deputi Superintendan Lee Chong Chern berkata, penuntut tahun dua UNIMAS itu dikatakan cuba masuk ke bilik rakan selepas tertinggal kunci.

Menurutnya, mangsa kemudian memanjat tingkap untuk masuk ke bilik sebelah namun dipercayai tergelincir sebelum terjatuh.

“Impak daripada kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

“Kejadian hanya disedari seorang penuntut kolej sebelum segera membantu membawa mangsa ke Pusat Jantung untuk rawatan lanjut,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, polis kemudian menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan selepas saksi membuat laporan.

Katanya, mangsa kemudian dirujuk ke Zon Merah Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching untuk rawatan lanjut kerana kecederaan serius.

“Punca kejadian sebenar masih belum dapat dipastikan kerana mangsa perlu menerima rawatan lanjut kerana berada dalam keadaan kritikal.

“Setakat ini siasatan menjurus ke arah kemalangan dan polis akan mengambil keterangan selepas keadaan mangsa stabil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 1:29 PM