MANGSA yang ditemui meninggal dunia dalam bilik hotel
MANGSA yang ditemui meninggal dunia dalam bilik hotel
Ekhwan Haque Fazlul Haque

LELAKI ditemui mati dalam bilik sebuah hotel di Jalan Kuching-Samarahan, Kota Samarahan, petang semalam.

Chen Keat Choon, 48, ditemui terbaring jam 6.20 petang oleh pekerja hotel itu yang menjalankan pemeriksaan selepas lelaki terbabit gagal mendaftar keluar.

Ketua Polis Daerah Samarahan, Deputi Superintendan Lee Chong Chern berkata, lelaki itu menginap di hotel berkenaan sejak Selasa lalu dan sepatutnya mendaftar keluar semalam.

Katanya, pekerja hotel, bagaimanapun gagal menghubunginya untuk mengetahui jika lelaki terbabit mahu terus menginap di hotel itu.

“Selepas beberapa kali lelaki terbabit gagal dihubungi, pekerja hotel kemudian ke biliknya untuk pemeriksaan.

“Pintu bilik yang berkunci menyebabkan ia terpaksa dipecahkan bagi membolehkan pekerja hotel masuk,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, sebaik pintu dipecahkan, lelaki terbabit ditemui tidak sedarkan diri dan terbaring di atas katil.

Katanya, pasukan bomba dan ambulans dipanggil untuk pemeriksaan lanjut sebelum lelaki terbabit disahkan sudah meninggal dunia.

“Pegawai dan anggota Balai Polis Kota Samarahan yang dipanggil ke lokasi mengesahkan tiada kesan pecah masuk atau elemen jenayah dalam kejadian ini.

“Barangan berharga dan dokumen peribadi lelaki terbabit juga ada di dalam bilik berkenaan,” katanya.

Katanya, polis juga menemui pelbagai ubatan selain buku rekod perubatan lelaki terbabit yang mengesahkan lelaki terbabit pengidap penyakit tuberkulosis (Tibi) dan jangkitan paru-paru kronik.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Hospital Umum Sarawak di Kuching untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Ogos 2018 @ 3:27 PM