Anggota polis menahan seorang penyokong di pekarangan Stadium Perak selepas Perlawanan Separuh Akhir Pertama Piala Malaysia antara Perak menentang JDT di Stadium Perak. FOTO MUHAIZAN YAHYA
Anggota polis menahan seorang penyokong di pekarangan Stadium Perak selepas Perlawanan Separuh Akhir Pertama Piala Malaysia antara Perak menentang JDT di Stadium Perak. FOTO MUHAIZAN YAHYA
Muhammad Apendy Issahak


SEORANG penyokong dan seorang anggota polis dilaporkan cedera dalam kekecohan yang berlaku selepas tamat perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Perak, Ipoh malam ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, sepanjang perlawanan berlangsung tiada sebarang insiden berlaku, namun sedikit kekecohan berlaku sejurus tamat perlawanan.

"Setakat ini dua dilaporkan cedera membabitkan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan seorang penyokong dipercayai terkena letupan mercun di luar stadium.

"Tangkapan juga dibuat termasuk individu yang disyaki membaling mercun, namun jumlah tangkapan masih belum dipastikan," katanya ketika ditemui di Stadium Perak.

Menurutnya, lebih 1,000 pegawai dan anggota polis termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berjaya mengawal keadaan dan penyokong disuraikan dari kawasan stadium jam 12.15 tengah malam.

"Berdasarkan pemerhatian kekecohan dipercayai hanya membabitkan penyokong tuan rumah kerana penyokong pelawat sudah dikeluarkan dari stadium awal untuk menaiki bas dan kemudian beredar dari kawasan stadium," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 12:51 AM