Mohd Shafie Apdal. FOTO arkib NSTP
Mohd Shafie Apdal. FOTO arkib NSTP
Norasikin Daineh


PRESIDEN Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersedia membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana di kementerian persekutuan yang pernah diterajuinya.

Bagaimanapun, Mohd Shafie menafikan bahawa syarikat yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes berkenaan adalah proksi beliau.

Mohd Shafie berkata, ketika berkhidmat sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah antara 2009 dan 2015, kementeriannya mencatatkan pencapaian cemerlang.

“Kami tidak mahu mereka-reka cerita. Berdasarkan penilaian prestasi pada 2009, 2012 dan 2013 yang ditandatangani oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, beliau (Najib) merakamkan ucapan tahniah atas Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang saya tunjukkan.

“Kita laksanakan, bukan tidak laksana dan ini semua fakta. Kementerian saya untuk bantu fakir miskin, untuk bantu masyarakat, bukan kita ambil duit masuk dalam akaun.

“Kita tidak bercakap bohong... jangan beritahu saya semua syarikat ini adalah milik saya," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), hari ini.

Ditanya sama ada siasatan itu bermotifkan serangan politik, Mohd Shafie mempersoalkan mengapa tiada siasatan sebelum dia meninggalkan kementeriannya.

“Apabila saya berada di dalam kerajaan, pencapaian baik. Sekarang apabila saya keluar dari kerajaan, saya melakukan sesuatu yang salah. Selama bertahun-tahun, mengapa tidak ada yang salah?

“Walau bagaimanapun, apa yang penting sekarang ialah kami akan fleksibel. Saya harap semua penyokong kami akan tetap tenang," katanya.

Berita berkaitan

Naib Presiden WARISAN direman

Apa? Seleweng RM180 juta [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 6:55 PM