ORANG ramai yang menunggu di perkarangan Mahkamah Kota Kinabalu. FOTO Norasikin Daineh
ORANG ramai yang menunggu di perkarangan Mahkamah Kota Kinabalu. FOTO Norasikin Daineh
Norasikin Daineh


LEBIH 100 orang dipercayai penyokong Parti Warisan Sabah (WARISAN) hadir di perkarangan Mahkamah Kota Kinabalu sejak 10 pagi, hari ini sebagai tanda sokongan kepada Presiden parti itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Difahamkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membawa Mohd Shafie yang juga bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu untuk permohonan perintah reman.

Ia bagi membantu siasatan SPRM berhubung siasatan kes penyelewengan dana RM1.5 billion yang disalurkan menerusi KKLW.

Mohd Shafie ditahan ketika tampil memberi keterangan di SPRM Sabah pada 9 malam tadi.

Tinjauan Harian Metro mendapati, kawasan perkarangan mahkamah dihadiri lebih 100 orang sejak pagi tadi walaupun jadual prosiding itu dijalankan petang ini.

Mereka kemudian beredar selepas mahkamah ditutup sementara waktu untuk rehat dan solat Jumaat 11.30 pagi tadi.

Difahamkan juga, kehadiran mereka adalah bertujuan untuk memberi ucapan ulang tahun yang ke-60 kepada Mohd Shafie yang jatuh pada hari ini.

Terdahulu, Mohd Shafie dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth 2 (QEH) sejak malam tadi kerana tekanan darah tinggi; bagaimanapun, kini dilaporkan dalam keadaan baik.

Berita berkaitan:

Shafie masuk hospital

Seleweng RM1.5b: Shafie Apdal ditahan

Shafie sedia bantu siasatan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 12:10 PM