DR Mohd Irwan (dua dari kanan) mencuba basikal Mobike yang dilancarkan di Cyberjaya, semalam.
DR Mohd Irwan (dua dari kanan) mencuba basikal Mobike yang dilancarkan di Cyberjaya, semalam.
Mohd Husni Mohd Noor


Cyberjaya: Tindakan Bank Dunia menyemak naik unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia membuktikan ekonomi negara bertambah baik dari semasa ke semasa.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Siregar Abdullah berkata, lebih membanggakan unjuran naik KDNK negara diumumkan institusi penarafan kewangan dunia iaitu Bank Dunia.

Beliau berkata, kerajaan sebelum ini turut menjangkakan KDNK negara akan mencecah melebihi lima peratus sepanjang tahun ini dan perkara itu turut diakui serta dipersetujui Bank Dunia.

“Bagi memastikan perkara itu tercapai, kita (kerajaan) akan bekerja keras melaksanakan pelbagai projek ekonomi yang dirancang malah berharap mencapai lebih daripada apa yang disasarkan Bank Dunia,” katanya pada majlis pelancaran perkhidmatan Mobike iaitu platform perkongsian basikal pintar, di sini, semalam.

Mohd Irwan berharap petunjuk berkenaan diterjemahkan kepada penggunaan swasta dan kerajaan yang tinggi, selain meningkatkan aktiviti perniagaan serta keyakinan perniagaan lebih baik pada masa depan.

Bank Dunia semalam menyemak naik unjuran pertumbuhan (KDNK) Malaysia tahun ini kepada 5.2 peratus daripada 4.9 peratus yang diumumkan Jun lalu berikutan pertumbuhan sebenar yang jauh lebih tinggi daripada jangkaan.

Pada asalnya, Bank Dunia mengunjurkan ekonomi negara berkembang 4.3 peratus.

Mengulas perkhidmatan Mobike, Mohd Irwan berkata, platform perkongsian basikal pintar itu seiring visi Cyberjaya sebagai bandar pintar.

Pengurus Besar Mobike Malaysia Sanjey Chandran berkata, pihaknya menyediakan 10 lokasi Mobike di sekitar Cyberjaya dengan lebih 100 basikal disediakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 8:44 AM