Sofyan Rizal Ishak


Kuala Lumpur: Bank Dunia menyemak semula kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun ini pada 5.2 peratus berbanding 4.9 peratus yang diunjurkan pada Jun lalu berikutan pertumbuhan sebenar lebih kukuh daripada jangkaan iaitu 5.7 peratus pada separuh pertama tahun ini.

Pengurus Negara Malaysia, Faris Hadad-Zervos berkata negara dijangka mampu bagi meneruskan trajektori pertumbuhan pada kadar lebih tinggi meskipun pada awalnya Bank Dunia menjangkakan ekonomi negara hanya berkembang pada 4.3 peratus.

“Jangkaan ini mencerminkan Malaysia sebagai ekonomi terbuka dengan persekitaran luaran yang menggalakkan dan membantu peningkatan berterusan negara di samping dasar yang turut merangsang permintaan domestik dan pelaburan,” katanya pada taklimat media Laporan Ekonomi Asia Timur dan Asia Pasifik edisi Oktober 2017, di sini, semalam.

Laporan itu turut menyaksikan Bank Dunia menyemak semula KDNK Malaysia bagi 2018 dan 2019 dengan aktiviti ekonomi dijangka berkembang pada lima peratus (disemak semula 0.5 peratus) dan 4.8 peratus (naik 0.3 peratus).

Ketua Ekonomi Bank Dunia Richard Record berkata, peningkatan semakan semula KDNK itu disumbang melalui pertumbuhan ekonomi yang mantap dan sejajar dengan petunjuk utama yang menggalakkan aktiviti dan keyakinan sektor swasta bagi jangka pendek.

Menurutnya, ekonomi Malaysia dijangka dapat mengekalkan momentum pertumbuhan semasa hingga 2018 dan 2019 meskipun pada kadar lebih sederhana ketika jangkaan pertumbuhan perbelanjaan modal lebih rendah

“Jangkaan pertumbuhan Malaysia lebih tinggi pada tahun ini adalah disebabkan pertemuan antara faktor luar dan domestik. Ia lebih cepat daripada jangkaan pertumbuhan bagi ekonomi maju termasuk China dan memberi kesan positif kepada ekonomi terbuka Malaysia kerana terdedah kepada aliran perdagangan antarabangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 9:12 AM