GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Husni Mohd Noor


TINDAKAN Bank Dunia yang menyemak naik unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia membuktikan ekonomi negara bertambah baik dari semasa ke semasa.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Siregar Abdullah berkata, lebih membanggakan, unjuran naik KDNK negara itu diumumkan oleh institusi penarafan kewangan dunia iaitu Bank Dunia.

Beliau berkata, kerajaan sebelum ini turut menjangkakan KDNK negara akan mencecah melebihi lima peratus sepanjang tahun ini dan perkara itu turut diakui serta dipersetujui oleh Bank Dunia.

"Bagi memastikan perkara itu tercapai, kita (kerajaan) akan bekerja keras dalam melaksanakan pelbagai projek ekonomi yang sudah dirancang malah, berharap kita akan mencapai lebih daripada apa yang disasarkan oleh Bank Dunia," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran perkhidmatan Mobike iaitu platform perkongsian basikal pintar di Cyberjaya, hari ini.

Katanya, jangkaan Bank Dunia itu didorong oleh peningkatan pelaburan dari luar negara, pelaburan dari dalam negara, pengukuhan harga minyak dan komoditi serta peningkatan pendapatan rakyat secara purata.

Mohd Irwan berkata, beliau berharap petunjuk berkenaan dapat diterjemahkan kepada penggunaan swasta dan kerajaan yang tinggi selain meningkatkan aktiviti perniagaan serta keyakinan perniagaan lebih baik pada masa depan.

Bank Dunia hari ini menyemak naik unjuran pertumbuhan (KDNK) Malaysia untuk tahun ini kepada 5.2 peratus daripada 4.9 peratus yang diumumkan Jun lalu, berikutan pertumbuhan sebenar yang jauh lebih tinggi daripada jangkaan 5.7 peratus pada separuh pertama 2017.

Pada asalnya, Bank Dunia mengunjurkan ekonomi Malaysia hanya berkembang sebanyak 4.3 peratus.

Pengurus Bank Dunia Malaysia, Faris Hadad-Zervos berkata, bank itu menjangka Malaysia akan meneruskan laluan pertumbuhannya pada tahap yang tinggi.

"Anggaran menaik itu mencerminkan Malaysia sebagai ekonomi terbuka. Oleh itu persekitaran luar yang menggalakkan membantu meningkatkan pertumbuhan berterusan Malaysia," katanya ketika mengumumkan perkembangan ekonomi Bank Dunia bagi Oktober 2017 edisi Asia Timur dan Pasifik di Cyberjaya, hari ini.

Mengulas mengenai pelancaran perkhidmatan Mobike, Mohd Irwan berkata, platform perkongsian basikal pintar itu seiring dengan visi Cyberjaya sebagai bandar pintar.

Menurutnya, selain mempromosikan gaya hidup sihat, Mobike juga adalah gaya hidup masa depan yang perlu dikembangkan dalam masyarakat hari ini.

Sementara itu, Pengurus Besar Mobike Malaysia, Sanjey Chandran berkata, pihaknya menyediakan 10 lokasi Mobike di sekitar Cyberjaya dengan lebih 100 basikal disediakan.

"Sebagai promosi, kami tidak mengenakan sebarang bayaran untuk langganan Mobike sepanjang bulan ini. Selepas tamat promosi, setiap langganan Mobike akan dikenakan bayaran RM1.50 bagi setengah jam penggunaan selain deposit sebanyak RM9," katanya.

FOTO Mohd Fadli Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 10:55 PM