pegawai perubatan dan jururawat MAPIM ke Bangladesh dalam Misi Bantuan Kemanusiaan Rohingya.
pegawai perubatan dan jururawat MAPIM ke Bangladesh dalam Misi Bantuan Kemanusiaan Rohingya.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), menghantar seorang doktor dan tiga jururawat ke Bangladesh dalam Misi Bantuan Kemanusiaan Rohingya.

Penolong Penyelaras MAPIM Negeri Sembilan, Ustaz Mohd Shukri Othman berkata, turut menyertai mereka ialah 15 sukarelawan.

“Ramai pelarian Rohingya yang menyeberang Sungai Naf untuk melarikan diri ke Bangladesh didapati sakit kerana tidak ada bekalan ubat dan ada juga yang cedera akibat serangan tentera junta Myanmar. Malah, ada antara mereka yang maut dalam perjalanan akibat kebuluran.

“Selain penyerahan pek makanan, misi itu juga memfokuskan kepada khidmat rawatan ringan seperti penyakit kulit, luka dan pemberian vitamin,” katanya ketika ditemui, semalam.

Mohd Shukri berkata, pihaknya masih memerlukan lebih banyak sumbangan orang ramai untuk membeli ubat-ubatan.

Beliau berkata, pihaknya akan memantau dan menyalurkan bantuan diperlukan pelarian terbabit sebagai khidmat kemanusiaan terhadap nasib yang menimpa pelarian Rohingya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 6:10 AM