AHMAD Tarmizi menyerahkan sumbangan MAPIM kepada pelarian di Hyderabad, India.
AHMAD Tarmizi menyerahkan sumbangan MAPIM kepada pelarian di Hyderabad, India.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: “Mereka nampaknya begitu pasrah, berlindung di sebalik plastik untuk berteduh daripada hujan dan panas. Nampak seperti di kawasan peperangan. Setakat ini 200,000 terperangkap di sempadan kerana tidak dibenarkan masuk ke Bangladesh,” kata aktivis kemanusiaan Bangladesh Salim Ullah.

Dia mengirimkan mesej itu kepada Naib Presiden MAPIM Ahmad Tarmizi Sulaiman semalam sebaik tiba ke lokasi sempadan di Sungai Naf, Bangladesh untuk meninjau keadaan di tebing sungai itu yang ketika ini dibanjiri pelarian Rohingya dari Arakan.

Katanya, dia sendiri tidak pernah melihat keadaan penduduk tinggal di kawasan lapang berdekatan sungai tanpa tempat berteduh berlatarbelakangkan kepulan asap dari kampung yang dibakar.

“Keadaan di sini sangat teruk, lebih teruk daripada apa yang kamu boleh bayangkan.

“Saya nampak kepulan asap dari kampung di kawasan Rathidaung. Saya juga nampak ibu menggendong anak kecil untuk dibawa ke sempadan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Tarmizi berkata, pihaknya juga dimaklumkan bahawa wujud keperluan untuk membuka penempatan baru di Thankhali, yang terletak di antara Balokhi dan Teknaf kerana ramai pelarian berada di sekitar kawasan itu sejak lebih seminggu lalu.

Katanya, MAPIM mengajak orang ramai membantu menerusi akaun Baitul Rahmah 552095224432 (Maybank) untuk memberikan bantuan segera kepada umat Islam di sana.

Selain itu, MAPIM juga menyantuni masyarakat Rohingya di Hyderabad, India menerusi ibadat korban di sana sejak Sabtu lalu.

“Alhamdulillah, MAPIM bersama kumpulan Facebook Titian Kasih dan Jalinan Kemanusiaan Barakacity dari Perancis melaksanakan program MAPIM GLOBAL QURBAN 2017 dengan menyumbang 24 lembu di 17 kem pelarian Rohingya di dua daerah dalam Hyderabad iaitu Balapur dan Babanagar.

“Ia hasil sumbangan PASRelief Malaysia berupa beras dan pek makanan di beberapa kem di sini dan kita akan teruskan penyerahan sumbangan di Jammu yang turut dihuni etnik Rohingya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 5:35 AM