Ahmad Tarmizi (kanan) bersama aktivis yang menyertai misi ke Bangladesh. FOTO Yusmizal Dolah Aling
Ahmad Tarmizi (kanan) bersama aktivis yang menyertai misi ke Bangladesh. FOTO Yusmizal Dolah Aling
Yusmizal Dolah Aling


DUA pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) berlepas ke Bangladesh malam ini untuk misi kemanusiaan selama empat hari di penempatan pelarian Rohingya.

Naib Presiden MAPIM Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, antara kawasan yang akan diberi tumpuan untuk pengagihan pek makanan termasuklah di Balukhali dan penempatan baru di Tankhali yang kini padat dengan pelarian yang baru tiba dari Myanmar di sempadan berdekatan Teknaf.

Katanya, misi itu juga akan menjengah lokasi di sempadan Sungsi Naf, yang menjadi laluan masuk terkini pelarian seperti yang tular di media sosial sejak krisis kemanusiaan memuncak di Arakan sejak dua minggu lalu.

"Saya bersama Setiausaha Agung MAPIM Zulhanis Zainol dan Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim Mohd Hakim Mohd Noor akan bersama NGO gabungan di Bangladesh untuk mengagihkan bantuan yang disumbangkan rakyat Malaysia menerusi kempen yang kita lancarkan baru-baru ini.

"Insya-Allah kita juga akan melawat madrasah dan pusat pengajian di sini untuk melihat keperluan yang boleh diusahakan segera. Kepada yang ingin turut menyumbang, boleh berbuat demikian menerusi akaun Tabung Kemanusiaan Rohingya 02020010072272 ( Bank Islam)," katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2017 @ 11:36 PM